Misteri hantu air jeram Titi Cina

 Gambar hiasan

SEDIM - Kejadian misteri di Arus Deras Sedim berterusan dan terbaru seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sempat diselamatkan rakan selepas nyaris terjatuh ke jeram itu.

Menurut mangsa, dia sedang merendamkan kakinya di dalam air sehingga terasa sesuatu menariknya ke dalam air di sekitar jeram Titi Cina.

Kenyataan mangsa tidak dinafikan penduduk tempatan yang menyatakan kawasan itu turut didiami makhluk halus.

Sinar Harian membuat tinjauan di kawasan jeram Titi Cina kira-kira jam 6 petang dan mengambil gambar di sekitar kawasan dilaporkan meragut tiga nyawa tahun lalu.

Bagi pengamal perubatan Melayu, Rosli Ahmad, selain makhluk halus, kawasan arus deras itu juga kemungkinan terdapat penempatan orang bunian.

"Pernah ada pengunjung dirasuk atau mengalami histeria. Kawasan hutan merupakan tempat bagi kebanyakan makhluk halus ini bersembunyi dan ada antaranya yang berkampung di situ.

"Kita jangan sesekali terlalu bergembira sebaliknya harus sentiasa berjaga-jaga," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa, Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Azmi Rejab berkata, kewujudan syaitan, iblis dan jin adalah benar bagaimanapun kita tidak seharusnya mempercayai kemalangan yang berlaku berpunca daripada tindakan mereka.

"Mereka ini wujud, bagaimanapun kita tidak seharusnya takut kepada mereka kerana kejadian manusia adalah lebih tinggi darjatnya kerana kita diciptakan sebagai khalifah di dunia ini. Apa yang berlaku di Sedim itu hanya kebetulan sahaja dan ia merupakan kecuaian yang dilakukan manusia itu sendiri.

"Pihak berkuasa mengambil inisiatif maklumkan kepada pengunjung bahawa ada beberapa kawasan di arus deras itu merbahaya bagaimanapun pengunjung enggan mematuhinya sehingga mengakibatkan lemas. Kalau dah ada larangan tidak boleh mandi, jangan mandi," katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment: