Layari Internet lebih 4 jam undang penyakit mental

 
LONDON - Kanak-kanak yang suka menghabiskan masa terlalu lama melayari Internet boleh mengundang risiko menghidap penyakit mental, lapor pakar kesihatan Britain.

Jabatan Kesihatan England (PHE) memberi amaran, kanak-kanak tersebut berisiko menghadapi masalah kesihatan termasuk tekanan perasaan, kerisauan, kesunyian, rendah keyakinan diri dan bersikap agresif akibat tabiat buruk itu.

Portal berita Daily Mirror yang memetik laporan PHE melaporkan, jumlah masa yang dihabiskan melayari laman sosial dan tahap kesihatan saling berkaitan terutamanya ke atas golongan muda.

Jelas laporan berkenaan, satu daripada 10 kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai masalah mental dan satu pertiga daripada golongan remaja menghadapi masalah sedih atau tekanan perasaan sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

"Maklumat terbaharu ini diperolehi berdasarkan jumlah ibu bapa atau kanak-kanak yang menghubungi talian khas, Childline untuk melaporkan kes buli di dalam talian, kes bunuh diri dan kes mencederakan diri sendiri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Selain Internet, kanak-kanak yang meluangkan masa terlalu lama menonton televisyen dan bermain permainan video lebih daripada empat jam sehari boleh mengundang penyakit tersebut," kata laporan itu.

PHE berkata, peningkatan tahap kesihatan dalam kalangan kanak-kanak sejak 20 tahun lalu juga terjejas akibat pengaruh media baharu itu dan mungkin perkembangan itu semakin buruk sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya, kebanyakan kanak-kanak pada masa ini berpuas hati dengan tahap kehidupan mereka dengan meluangkan masa melayari laman sosial atau menonton televisyen, tetapi tidak mengambil berat tentang kesihatan diri.

"Penyakit mental boleh mengancam golongan kanak-kanak seawal usia antara lapan dan 15 tahun.

"Isu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak berwajib, terutama ibu bapa untuk mengehadkan aktiviti anak-anak mereka dalam dunia alam maya supaya tidak melebihi empat jam sehari," lapor PHE.

Sumber

No comments:

Post a Comment