Pasangan panda tunjuk tanda awal ingin mengawan

 
KUALA LUMPUR - Pasangan panda gergasi dari China, Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di Zoo Negara sejak tiga hari lepas, telah menunjukkan tanda-tanda ingin mengawan, kata Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia Rosly@Rahmat Ahmat Lan.
      
Beliau berkata, tanda-tanda itu dikesan oleh anggota pasukan Zoo Negara yang khusus untuk menjaga dan menguruskan keperluan harian kedua-dua beruang panda itu sejak semalam.

"Sebenarnya tanda-tanda (ingin mengawan) itu sudah ada sebelum kedua-dua panda itu diterbangkan ke negara ini tetapi keadaan ini menjadi lebih jelas apabila mereka tiba dan dikuarantinkan di sini (Zoo Negara) untuk menyesuaikan diri.
      
"Antara tanda-tandanya awal iaitu mereka akan mengeluarkan bunyi seperti kucing ingin mengawan dan pergerakan mereka yang luar biasa kerana ketika dikuarantinkan, sangkar mereka terletak hanya bersebelahan sahaja," katanya yang juga Timbalan Presiden Zoo Negara ketika dihubungi Bernama hari ini.
      
Rosly berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak China sama ada ingin membiarkan kedua-dua panda itu mengawan dan membiak secara semulajadi.
      
"Hal ini kerana pasangan panda ini adalah dipinjamkan dari China dan simbolik kepada hubungan baik antara kedua-dua negara dan kami perlu berbincang dengan mereka (China)," katanya.
      
Rosly berkata, setakat ini kedua-dua beruang panda itu berada dalam keadaan sihat sejak proses kuarantin bermula sejak tiga hari lepas.
      
"Beruang panda betina, Feng Yi kelihatan lebih aktif dan suka bergerak sejak hari pertama tiba di 'rumah baharu' mereka berbanding dengan panda jantan, Fu Wa yang lebih tenang dan masih dalam keadaan menyesuaikan diri.
      
Bagaimanapun, kedua-dua beruang panda itu sangat berselera iaitu mengambil kira-kira 30kg makanan setiap hari antaranya buluh dan rebung," katanya.
      
Pasangan beruang panda yang merupakan simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China, tiba di sini dari Chengdu, China Rabu lepas bagi memulakan kehidupan baharu di perantauan selama 10 tahun.
      
Pasangan beruang panda itu, yang dipinjamkan menerusi Program Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Antarabangsa Panda Gergasi Malaysia-China, akan dikuarantinkan kira-kira sebulan di tempat khas di Zoo Negara di Hulu Klang, bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
      
Melalui program yang ditandatangani pada 2012, Malaysia berpeluang menjalankan penyelidikan pemuliharaan panda gergasi selain dapat membangun dan melatih kepakaran tempatan dalam bidang itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment