Warga China yang diculik di Sabah berjaya diselamatkan

KAWALAN keselamatan Singgahmata Adventures Reef and Resort diperketatkan selepas insiden penculikan, April lalu. FAIL NSTP

Kuala Lumpur : Dua wanita termasuk warga China yang diculik di sebuah pulau di Semporna, Sabah pada April lalu berjaya diselamatkan tanpa mebabitkan sebarang wang tebusan dibayar hasil kejayaan operasi bersama pihak berkuasa Malaysia dan Filipina.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam laman Twitternya berkata, beliau diberi taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa pelancong dari China Gao Huayuan, 29, pekerja resort Singgahmata Adventures Reef and Resort, Marcy Darawan@Mimi, 40, yang diculik pada 2 April lalu berjaya diselamatkan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pelancong warga China itu dapat pulang ke negara asalnya secepat mungkin.



“Tiada wang tebusan dibayar bagi membolehkan pembebasan mereka. Kejayaan ini hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina,” tweet beliau, malam ini.


Dalam kejadian 10.30 malam 2 April lalu, Gao dan Marcy diculik dari resort atas air dengan 60 bilik itu yang terletak kira-kira dua batu nautika dari pekan Semporna, oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata.

Pada 6 Mei lalu, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan, Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhou, China, di Pulau Baik, Lahad Datu, Sabah.



Dua warga China yang diselamatkan akan pulang ke negara mereka esok

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa menyelamatkan dua wanita mangsa culik di Singamata Reef Resort, Semporna, di Pulau Jolo, Filipina, kira-kira 10 pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi berkata, kedua-dua wanita itu selamat dan tiba di pantai barat negeri ini 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan lokasi mangsa ditempatkan.

"Mereka akan berada di sini sehingga esok sebelum diterbangkan ke negara masing-masing pada hari sama," katanya.


Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter miliknya mengesahkan operasi menyelamat pelancong warga China dan pekerja warga Filipina itu dilakukan 7.27 malam tadi.


"Tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan penculik dan kejayaan operasi adalah hasil kerjasama pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina," kata Najib menerusi Twitter.


Sumber: myMetro

1 comment:

  1. Kawalan longgar...terlalu byk kejadian seperti ini berlaku

    ReplyDelete