Remaja 14 tahun baling topi keledar pada polis

Motosikal suspek diperiksa ketika tiba di Pejabat Trafik Kulim
KULIM - Gara-gara takut di cekup polis, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bersama kekasihnya berusia 13 tahun sanggup membaling topi keledar kepada polis ketika cuba ditahan di sebuah pasar raya di sini.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, kejadian berpunca apabila suspek yang masih bersekolah dan berasa cemas apabila ditahan polis.

Katanya, suspek cuba melarikan diri apabila di kejar polis, bagaimanapun suspek tidak dapat melepasi deretan kenderaan antara kereta di hadapannya kerana kesesakan jalan.

"Untuk memastikan polis tidak terus berlari mengejarnya, suspek mengambil tindakan membaling polis dengan topi keledarnya. Bagaimanapun tindakan dibuat suspek mengakibatkan dia hilang kawalan sebelum di tahan polis yang berada di tempat kejadian.

“Ketika pemeriksaan di jalankan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu manakala kesihnya tidak membawa kad pengenalan. Mereka kemudiannya di bawa ke Pejabat Trafik di Pekan Kulim untuk siasatan lanjut," katanya.

Akibat itu, polis mengeluarkan saman kepada suspek dan pemilik motosikal kerana membenarkan remaja bawah umur menunggang motosikalnya.

"Pemilik motosikal serta ibu bapa harus sedar, sekiranya anak mereka terlibat dalam kemalangan, pihak insurans tidak akan bertanggung jawab terhadap kemalangan terlibat dan pembayaran pampasan tidak akan dibuat terhadap mangsa,” katanya.

Ismail menasihatkan pemilik motosikal supaya tidak meminjamkan kenderaan kepada remaja bawah umur kerana tindakan boleh diambil ke atas mereka. - Sinar Harian


No comments:

Post a Comment