Buaya Bujang Taniku masuk perangkap

ANGGOTA JPAM dan pekerja SFC mengangkat Bujang Taniku ke tebing sungai
Miri: Selepas hampir dua minggu diburu, akhirnya buaya digelar ‘Bujang Taniku’ yang dipercayai membaham seorang lelaki warga Indonesia pertengahan bulan lalu, berjaya diperangkap dengan umpan ayam dipasang Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di anak sungai Ladang Taniku, Permyjaya, di sini, semalam.

Buaya jantan sepanjang 4.66 meter ditangkap kakitangan SFC pada jam 8 pagi dibantu sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selepas menerima maklumat pekerja ladang kelapa sawit yang ternampak kelibat buaya itu timbul bersama pelampung pada umpan dipasang.

Anggota JPAM bersama kakitangan SFC mengambil masa empat jam sebelum buaya seberat lebih 500 kilogram itu berjaya diangkat ke tebing sungai dan dihantar ke Pusat Penjagaan Haiwan Liar di bawah kelolaan SFC.

Pekerja ladang, Asbar Zainuddin, 24, berkata, ketika berjalan di tebing sungai itu, dia pelik melihat ada pelampung timbul bergerak melawan arus.

Katanya, mengesyaki sesuatu yang tidak kena, dia menghampiri tebing sungai dan terkejut melihat seekor buaya melibas ekornya.

harian metro


1 comment: