Penerbit rancang menghasilkan Hantu Kak Limah 3

PENERBIT Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit merancang untuk menghasilkan Hantu Kak Limah 3 ekoran maklum balas luar biasa diterima terhadap filem geng Kampung Pisang itu.

Penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pengarah filem tersebut, Mamat Khalid.

“Kami ada perancangan untuk hasilkan filem Hantu Kak Limah 3. Kami dah bincang dengan Mamat Khalid,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Filem berlatarbelakangkan Kampung Pisang arahan terbaru Mamat Khalid Hantu Kak Limah 2 yang merupakan kesinambungan bagi Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya memperoleh kutipan RM 3.88 juta setelah enam hari tayangan.

Jumlah itu nyata berita gembira buat produksi filem tersebut selepas berjaya menandingi kutipan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah untuk seminggu tayangan.

Tahun lalu, Hantu Kak Limah Balik Rumah berjaya memperoleh RM2.7 juta selepas seminggu ditayangkan di 48 pawagam.

Gayatri berkata, filem tersebut bakal ditayangkan sehingga satu tempoh yang belum diketahui.

“Setelah enam hari tayangan, filem ini berjaya memperoleh RM3.88 juta. Tahun lalu, Hantu Kak Limah Balik Rumah mencatat RM7.93 juta setelah enam minggu ditayangkan.

“Hantu Kak Limah 2 akan ditayangkan lagi, bergantung pada permintaan di pawagam sebelum dibawa ke Astro First. Kami selalu harap filem terbitan kami akan berada di pawagam selama mungkin,” katanya.

Hantu Kak Limah 2 yang dibintangi Awie, Ezlynn, Rashidi Ishak dan Usop Wilca yang menelan kos RM1.65 juta itu telah menemui penonton, Khamis lalu.

Gayatri juga tidak menolak cuti umum sempena Tahun Baru Cina membantu kutipan filem tersebut.

“Saya rasa cuti Tahun Baru Cina membantu kutipan filem ini. Selain itu, geng Kampung Pisang juga telah mempunyai pengikut tersendiri daripada Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah sehingga ke filem ini,” katanya.- Sinar Harian

2 comments:

  1. salam kenal & polow sini jugak... Man Laksa pun mamat khalid yang arahkan. Tapi cite dia semua lucu2!

    ReplyDelete