Lelaki bersenjatakan parang samun dua wanita dalam masjid

DUNGUN – Dua wanita yang singgah solat di sebuah masjid dekat sini, menjadi mangsa terbaru penjenayah bersenjatakan parang panjang yang berjaya melarikan beg tangan mangsa.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Juliana Omar, 28, bersama seorang rakannya singgah di Masjid Mukim Kampung Kuala Abang untuk menunaikan solat Zohor.

Bagaimanapun sebaik selesai solat, mangsa terpandang kelibat seorang lelaki bersenjatakan parang panjang di pintu masuk ruang solat wanita.

Juliana yang dihubungi berkata, suspek yang memakai topeng kemudiannya meluru ke arahnya menyebabkan dia ketakutan dan cuba melarikan diri, namun suspek telah menghalang mangsa dengan mengacukan parang panjang selain turut mengugut untuk membunuhnya.

“Dia mengacukan parang ke arah saya sambil mengugut membunuh saya jika enggan menyerahkan beg tangan.

“Saya terpaksa akur kerana takut dicederakan, kejadian itu benar-benar membuatkan saya trauma,” kata Juliana.

Suspek yang berjaya mendapat habuan kemudiannya melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Viva putih.

Juliana kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun kira-kira jam 10.30, malam semalam.

Mangsa yang berasal dari Tebing Tembah serta rakannya kerugian lebih RM10,000 setelah dua beg tangan mereka yang mengandungi wang tunai, telefon bimbit, barang kemas, dokumen serta kunci kenderaan dikebas penyamun terbabit.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, mengesahkan kejadian dan suspek kini masih diburu polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat individu mencurigakan menaiki kereta Perodua Viva putih boleh menghubungi polis di talian 09-8482222,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang penagih dadah yang menyewa bilik penginapan sebuah resort ditahan polis.

Ketika serbuan dilakukan sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah narkotik kira-kira jam 3.30 petang kelmarin, suspek dikatakan baru keluar dari bilik mandi sementara menunggu kekasihnya tiba.

Bagaimanapun, segalanya terbongkar apabila pemeriksaan polis menemui dua biji pil disyaki dadah jenis methapethamine dalam poket seluarnya.

Selain dadah turut ditemui ‘ubat kuat’, kondom serta pakaian wanita dipercayai milik kekasihnya.

Suspek, berusia 30an difahamkan seorang pekerja di pelantar minyak dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah methapethamine dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

sinar harian


2 comments:

  1. kali last ke dungun masa join candat sotong anjuran TELEKOM 2009. best bila mencandat, tapi sekor sotong pun xnaik.. =,='

    ReplyDelete
  2. Orang nak solat pon dia nak samun ke

    ReplyDelete