Surau Baitulrahman Aman Perdana ditembak

SHAH ALAM - Sepuluh jemaah yang sedang membuat persediaan untuk solat Isyak dikejutkan dengan dua das tembakan, yang turut merosakkan cermin Surau Baitulrahman Aman Perdana, Kapar, Klang, malam tadi.

Tiada jemaah cedera dalam kejadian itu.

Ketika kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, 10 jemaah lelaki dan wanita berada di tingkat atas surau dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, mereka terkejut apabila cermin surau yang menghadap jalan utama pecah secara tiba-tiba.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat dua kesan tembakan yang disasarkan ke arah bahagian surat itu.

"Individu yang melepaskan tembakan itu menggunakan pistol angin yang tidak mengeluarkan bunyi. Peluru yang digunakan pula adalah 'ball bearing'.

"Jemaah surau hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi cermin pecah," kata beliau kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, bagaimanapun kejadian tersebut tidak mendatangkan sebarang kecederaan terhadap jemaah.

Ketika ditanya sama ada tembakan disasarkan terhadap individu tertentu yang berada dalam surau, beliau berkata, motif tembakan masih dalam siasatan.

"Keterangan 10 jemaah sudah direkodkan bagi membantu siasatan. Motif sebenar tembakan itu masih belum dapat dipastikan," kata beliau.

Mohamad Shukor berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditempatkan di lokasi berhampiran surau berkenaan tidak dapat merekodkan insiden tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.- Sinar Harian

2 comments: