24 lebuh raya beri rebat, diskaun tol


Lebih 4.38 juta pengguna lebuh raya, terutama Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) akan menikmati diskaun dan rebat antara lima hingga 37.5 peratus sempena Tahun Baru Cina ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata rebat dan diskaun itu diberikan syarikat konsesi di 24 lebuh raya seluruh negara pada hari tertentu antara 7 hingga 15 Februari ini.
“Pemberian diskaun dan rebat ini ialah kesinambungan program tanggungjawab sosial syarikat terbabit kepada pengguna seperti dilakukan pada Aidilfitri, Deepavali dan Krismas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek pelebaran lorong keempat membabitkan laluan antara persimpangan Nilai Utara ke persimpangan Port Dickson di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) di sini, semalam.

Layari portal LLM

Untuk maklumat lanjut mengenai jumlah rebat dan diskaun serta lebuh raya terbabit, orang ramai boleh melayari portal Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) di www.llm.gov.my.

Shaziman berpuas hati dengan perkembangan projek itu yang dijangka siap sepenuhnya Disember tahun depan.
Projek pelebaran itu membabitkan 63.3 kilometer, termasuk bagi laluan Shah Alam-Bukit Lanjan-Rawang dan Bukit Lanjan-Jalan Duta dengan kos RM1.437 bilion ditanggung PLUS.

Sementara itu, katanya peningkatan aliran trafik dijangka bermula 8 Februari di lebuh raya utama antara bandar terutama PLUS, LPT dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

Penyelenggaraan dihenti

Sehubungan itu, katanya kementerian mengarahkan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan tidak kritikal dihentikan dua minggu bermula kelmarin, selari dengan pelaksanaan Ops Selamat yang tamat 17 Februari ini.

"Kita juga meminta syarikat konsesi meningkatkan kekerapan rondaan bagi menangani masalah kerosakan kenderaan dan kemalangan, selain menambah kakitangan sokongan di plaza tol dan hentian rehat bagi membantu melancarkan aliran trafik.

“Mereka juga diminta memaksimumkan pembukaan lorong transaksi plaza tol dan melakukan pengurusan trafik cekap termasuk penggunaan paparan mesej elektronik bergerak bagi memberi maklumat mengenai status aliran trafik kepada pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya turut dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 8, 9, 16 dan 17 Februari ini.- Berita Harian


3 comments:

  1. banyak juga rebat tu..tp itu lah nak blk kg pun kena pikir 2 3 kali, takut jammed jer..

    ReplyDelete
  2. Tempat kakak tak ada pun dlm senarai. Bilalah Johor nak masuk list tak tahulah..

    ReplyDelete