Penyamun baik hati tawar diri buat susu anak

Mohd Nasrudin memangku Mohd Rayyan Zikri yang berkemungkinan masih fobia kerana melihat penyamun bertopeng dan cuba dipujuk Mustafa
HULU TERENGGANU - “Walaupun salah seorang penyamun tawarkan diri untuk membancuh susu anak, tetapi saya memohon jasa baiknya agar membiarkan saya berbuat demikian,” cerita Wan Habibah Wan Ismail, 31.

Wan Habibah menceritakan detik cemas setelah rumah mentuanya, iaitu Imam Masjid Kampung Bukit Diman, Mustafa Khatib Mohamad, 67, dimasuki tiga penyamun bertopeng kira-kira jam 3 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Wan Habibah dan lima ahli keluarganya yang lain bukan sahaja diikat di dalam bilik, tetapi turut kerugian kira-kira RM15,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan beberapa telefon bimbit.

Menurut Wan Habibah, beberapa minit sebelum kejadian, suaminya Mohd Nasrudin, 34, sedang membuai anak mereka, Mohd Rayyan Zikri, 2, yang menangis sebelum bilik tidur diserbu penyamun secara tiba-tiba.

“Suami diarah tunjuk bilik tidur mentua dan dia hanya mampu menurut kerana penyamun memegang pisau. Saya kemudiannya dibawa ke bilik tidur adik ipar, Mohd Nurul Hadi, 32, dan semua ahli keluarga lain juga turut dikumpulkan bersama," katanya.

Wan Habibah berkata, ketika itu anaknya menangis lalu salah seorang penyamun terbabit membawa Mohd Rayyan kepadanya.

"Saya meminta mereka lepaskan ikatan kerana ingin membancuh susu.

“Kemudian saya dibawa masuk kembali ke dalam bilik tidur dan tidak mengetahui apa yang terjadi sehinggalah mereka beredar,” katanya di sini, semalam.
Diikat, kepala ditutup kain

Bagi Mustafa, walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun dia tetap bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya terselamat.

“Mohd Nasrudin mengejutkan saya yang ketika itu dibawa penyamun ke dalam bilik tidur. Kedua-dua tangan saya dan isteri, Zawiyah Abd Majid, 58, diikat dan kemudiannya kepala kami ditutup dengan kain.

“Mereka berada di dalam rumah saya kira-kira satu jam. Berkemungkinan, penyamun berkenaan menggunakan pintu sama untuk masuk dan keluar iaitu melalui tingkap dapur.

“Selain saya dan isteri, turut berada di rumah ini ialah dua anak, Mohd Nasrudin dan Mohd Nurul Hadi bersama isteri masing-masing.

"Syukurlah, tiga cucu saya juga tidak diapa-apakan, begitu juga isteri Mohd Nurul Hadi, Maswani Mat Zaki, 32, yang sarat mengandung,” ujarnya.

Tambah Mustafa, kejadian seumpama itu pertama kali terjadi kepada mereka sekeluarga dan menyifatkan ia salah satu ujian ALLAH SWT untuknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata. - Sinar Harian



2 comments:

  1. nasib baik dia tak apa-apakan budak kecik tu..

    ReplyDelete
  2. aku rasa niat penyamun tu nak samun je kot. baik pulak nak buat susu budak. ada sifat kasihan. tapi tetap salah sebab merompak

    ReplyDelete