Amalan ilmu hitam di Oman meningkat

Muscat: Polis Oman menggesa penduduk negara itu tidak percaya kepada perkara karut marut termasuk mengamalkan ilmu hitam atau sihir.

Ini berikutan peningkatan kes mengenai perbuatan mendalami ilmu hitam diterima pihak berkuasa keselamatan.

Antara kes termasuk laporan beberapa penduduk di kawasan pinggir Mabellah Selatan, 40 kilometer ke utara kawasan lama Muscat, awal bulan ini.

Aktiviti mencurigakan

Mereka yang tinggal tidak jauh daripada sebuah rumah lama, memberitahu polis bahawa ada aktiviti mencurigakan berlaku selepas mendengar bunyi pelik di situ.

Apa yang berlalu ialah dua orang lemas selepas melakukan satu upacara sihir. Empat lagi pengsan selepas menghidu asap beracun.

Seorang warga sebuah negara Afrika ditahan di tempat kejadian dan dituduh mengamalkan sihir dan ilmu hitam.
Polis berkata, asap beracun itu terhasil selepas kayu gaharu dibakar bersama herba beracun.

“Orang ramai sepatutnya tidak terpengaruh dengan mereka yang mendakwa memiliki kuasa ajaib,” kata jurucakap polis.

Dalam kenyataan kepada media, dia berkata, jenayah berkaitan sihir dilaporkan kebelakangan ini dan beberapa orang sudah ditahan.

Bahan bukti ditemui

“Beberapa buku, kayu gaharu, herba beracun, lilin dan losyen ditemui selepas serbuan dibuat,” katanya.

Pihak bertanggungjawab cuba meraih keuntungan dengan berpura-pura ada keupayaan memberi kekayaan kepada seseorang itu selain menyelesaikan masalah keluarga.

“Jangan tertipu dengan dakwaan seperti itu,” katanya kepada orang ramai dan meminta mereka melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada polis.

Kenyataan itu juga memetik Setiausaha Pejabat Fatwa Mufi Besar, Ebrahim Bin Nasser Al Sawafi, sebagai berkata hanya orang yang mahu melakukan jenayah sedia mendakwa ada mukjizat. - Agensi


1 comment: