Kes simbah asid hanya khabar angin


SHAH ALAM – Kejadian simbah asid di beberapa kawasan antaranya di sini, Subang Jaya dan Kota Damansara yang heboh di Facebook hanya khabar angin, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah.

Menurutnya, individu yang menyebarkan berita palsu itu dipercayai cuba mendatangkan rasa takut terutamanya terhadap golongan wanita.

“Kalau berita itu benar, pasti ada mangsa atau ahli keluarga tampil membuat laporan polis.

“Bagaimanapun sehingga kini kita tidak terima sebarang laporan berhubung kejadian itu,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang mengatakan dua wanita disimbah asid dalam dua kejadian di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan di pusat membeli belah The Summit, Subang Jaya, kelmarin.

Berdasarkan cerita yang tersebar di laman sosial itu, serangan itu dilakukan oleh seorang lelaki berkulit gelap yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Ia juga menerangkan modus operandi penjenayah iaitu mengetuk tingkap kereta terlebih dahulu sebelum menyimbah asid ke arah muka mangsa dan menjadikan wanita sebagai sasaran utama.

Sebelum ini, negara dikejutkan akan serangan asid yang berlaku sekitar Lembah Klang membabitkan 20 wanita, sejak Mei 2011.

Bagi membanteras jenayah tersebut, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan Bukit Aman menubuhkan satu jawatankuasa khas.

Jawatankuasa yang diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin itu bekerjasama dengan beberapa kumpulan pemandu teksi bagi membantu polis mengesan suspek melalui perkhidmatan radio teksi.- Sinar Harian



2 comments: