Penderitaan Nazatul Nadia yang menghidap SLE

Zarina tetap tabah dengan dugaan dihadapi anak angkat
dipeliharanya sejak berusia empat bulan.
 BANDAR TUN RAZAK – “Aku nak kahwin dengan Nadia kenapa tak bagi. Patutlah orang kata ko (engkau) jual anak,” itu yang diungkapkan Nazatul Nadia Mohd Izwan, 20, ketika menjalani rawatan di Hospital Temerloh November tahun lalu.

Sejak peristiwa itu, kesihatan Nazatul Nadia semakin merosot dan gadis itu dipercayai menghidap penyakit misteri selepas tangan kanan serta kedua kakinya membengkak kehitaman dan berbau busuk.

Ibu angkatnya, Zarina Saat, 52, berkata, perubahan Nazatul Nadia disedarinya ketika mereka sekeluarga pulang menziarahi seorang ahli keluarganya yang meninggal dunia di Felda Lurah Bilut, Bentong.

“Mukanya pucat dan dia sering kali mengadu sakit perut sewaktu pulang ke kampung. Bimbangkan keadaannya yang bertambah teruk, kami membawanya ke Hospital Bentong bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Bagaimanapun, keadaan Nazatul Nadia bertambah teruk dan dia terpaksa dipindahkan ke Hospital Temerloh kerana keadaannya yang lemah dan tidak bermaya,” katanya kepada Sinar Harian.
Meracau, diserang histeria

Zarina berkata, semasa menerima rawatan di hospital itu, Nazatul Nadia sering diserang histeria dan meracau tidak tentu hala dengan menyebut nama lelaki yang tidak dikenali kononnya mahu memusnahkan hidup anak angkatnya itu.

“Kadang-kadang apa yang disebut Nazatul Nadia tidak kami fahami hingga satu tahap dia langsung tidak mengenali dirinya sendiri,” katanya.

Menurutnya, pada masa itu, beberapa perubahan ketara dapat dilihat pada tangan dan kaki anak angkatnya itu yang berwarna kebiru-biruan dan membengkak.

“Saya ada bertanya dengan jururawat di hospital itu tentang perubahan pada tangan dan kaki yang dihadapi anak saya, tetapi jururawat mengatakan mungkin anak saya alahan pada ubat-ubatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, anak angkatnya itu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hosiptal Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas tidak sedarkan diri selama beberapa hari.

“Doktor yang merawatnya telah mengenal pasti punca penyakit Nazatul Nadia dan mengesahkan anaknya itu menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE). Nazatul Nadia kemudiannya dipindahkan ke wad biasa dan dirawat lebih sebulan di HTAA,” katanya.
Zarina mencuci kaki anak angkatnya yang disahkan menghidap SLE
Terlantar, pakai lampin

Katanya, sejak persitiwa itu, Nazatul Nadia tidak lagi boleh berjalan seperti biasa, malah tubuh badannya lebih kurus berbanding sebelum ini.

“Malah, Nazatul Nadia terpaksa memakai lampin pakai buang dan hanya terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap penyakit itu,” katanya.

Katanya, pada masa ini, dia terpaksa membelanjakan antara RM1,300 bagi menampung kos ubat-ubatan dan kos mencuci kaki dan tangan anak angkatnya yang dipelihara sejak berusia empat bulan itu.

“Selain mendapatkan rawatan moden, saya juga ada membawa Nazatul Nadia menjalani rawatan perubatan kampung.

“Kebanyakan pakar perubatan tradisional yang saya temui mengatakan kemungkinan Nazatul Nadia terkena sihir, tapi semuanya itu saya serahkan kepada ALLAH SWT kerana hanya ALLAH sahaja yang mengetahui segala-galanya.

“Saya reda dengan dugaan dan ketentuan ini kerana saya percaya jika kita kuat dan boleh hadapi dugaan ini, insya-Allah ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Nazatul Nadia berkata, walaupun berat menerima dugaan ini, tetapi dia tetap yakin suatu hari nanti dia akan kembali pulih seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

“Mulanya sukar untuk saya menerima dugaan besar dalam hidup ini. Namun saya perlu kuat menerima dugaan ini dengan hati terbuka kerana ALLAH masih memberi saya peluang untuk meneruskan hidup,” katanya.- Sinar Harian


1 comment: