5 minit kanak-kanak terlekat di pintu pagar kena renjatan elektrik

Pagar yang dipegang Nur Haani semasa terkena renjatan elektrik di Kampung Tunku, Petaling Jaya, kelmarin.

PETALING JAYA - Leher seorang kanak-kanak perempuan terlekat selama lima minit di pintu pagar sebuah kedai serbaneka di Kampung Tunku kelmarin, selepas terpijak lopak air yang mempunyai arus elektrik.

Mangsa, Nur Haani Irdiana, 12, bagaimanapun sempat diselamatkan oleh pekerja kedai serbaneka terbabit selepas terdengar jeritan daripada orang ramai.

Difahamkan pekerja kedai serbaneka itu terpaksa menggunakan kayu untuk menguis tubuh kanak-kanak tersebut bagi mengelakkan lehernya daripada terus melekat pada pintu pagar itu.

Menurut ibu mangsa, Siti Aishah Dollah, 38, dia bersyukur anaknya selamat dalam kejadian yang hampir meragut nyawa itu.

"Masa kejadian dia baru saja balik daripada aktiviti kokurikulum. Mungkin sebab nak elakkan daripada terjatuh, dia sempat berpaut pada pintu pagar besi sampai lehernya melekat," katanya.

Katanya, sebaik sahaja leher Nur Haani dipisahkan dari pintu pagar, dia  terus jatuh terlentang dan berada dalam keadaan dalam separuh sedar serta mulutnya berbuih.

“Cikgunya bergegas bawa dia ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan lepas tu baru hubungi saya untuk maklumkan kejadian," katanya.

Tambahnya, pemeriksaan doktor mendapati anaknya tidak mengalami kecederaan serius.

“Dia cuma ada lebam di leher sebelah kanan akibat terkena renjatan," katanya.

Sumber: Sinar Harian

3 comments:



  1. link sumber;

    http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/lima-minit-leher-terlekat-di-pintu-pagar-1.266594

    ReplyDelete