Inilah LIVERPOOL..hampiri kejuaraan Liga Perdana


 LIVERPOOL – Jangan main-main dengan Liverpool. Gelaran juara Liga Perdana England musim ini bagaikan sudah berada dalam genggaman. Semalam, Manchester City menjadi mangsa terbaharu mereka dalam saingan liga musim ini selepas mencatat kemenangan 3-2.

Biarpun mendapat tentangan sengit terutama pada separuh masa kedua, namun skuad bimbingan Brendan Rodgers itu tidak menunjukkan petanda untuk menyerah.

Tiga mata berharga yang diraih pada perlawanan tersebut itu menyaksikan The Reds kini selesa memegang status selaku pendahulu liga dengan 77 mata berbanding City yang ketinggalan tujuh mata di tangga ketiga meskipun memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad The Reds semakin hampir mendakap trofi liga pertama sejak kali terakhir pada 1990 lalu.


Beraksi di laman sendiri, pemain sayap lincah, Raheem Sterling mengambil kesempatan daripada kesilapan City dengan menjaringkan gol pertama Liverpool seawal minit keenam.

Pemain pertahanan The Reds, Martin Skrtel berjaya menggandakan kedudukan buat tuan rumah untuk mendahului 2-0 menerusi jaringannya pada minit ke-26.

Tersentak dengan itu, The Citizens bangkit mengatur serangan, namun kecemerlangan penjaga gol, Simon Mignolet menafikan hajat skuad bimbingan Manuel Pellegrini itu sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, gol yang dicari-cari City akhirnya menjelma menerusi percubaan daripada pemain tengahnya, David Silva selepas menerima hantaran cantik daripada James Milner pada minit ke-57.

Selepas itu, The Citizens berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri pertahanan Liverpool, Glen Johnson pada minit ke-62.

Hajat The Reds meraih tiga mata berharga itu berhasil apabila pemain tengahnya, Phillipe Coutinho memanfaatkan kesilapan kapten City, Vincent Kompany dengan rembatan deras untuk memberikan gol ketiga pada minit ke-78.

Bagaimanapun, kad merah yang diterima pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson gara-gara terjahan keras ke atas Samir Nasri pada lewat permainan tidak mampu memberikan kelebihan kepada City apabila kedudukan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

– Agensi
Kosmo!

2 comments:

  1. selamat pagi
    singgah isnin :)

    ReplyDelete
  2. tp jgn happy awl sgt...
    ada 4 lagi game yg bisa buat jantung terkeluar ;-)

    ReplyDelete