Cekik bekas kekasih tak mahu jalin hubungan

Gambar hiasan
Gombak: Berang rayuannya untuk kembali bersama ditolak bekas teman wanitanya, seorang lelaki tergamak memaki hamun, mencekik dan memukul sebelum mengugut ingin membunuh bekas kekasihnya itu.

Dalam kejadian jam 7.30 malam kelmarin itu, lelaki berusia 30-an itu datang ke kediaman wanita berusia 22 tahun itu di Rawang dengan tujuan berbaik semula dan menjalinkan hubungan cinta yang terputus sebelum ini.


Menurut sumber, percubaannya itu gagal selepas mangsa enggan menerimanya semula dan memberi alasan bekas teman lelakinya itu seorang yang panas baran kerana sering memukulnya.

“Geram dengan tindakan mangsa yang enggan kembali kepadanya menyebabkan lelaki itu mengamuk dan terus memaki hamun mangsa.


“Malah mangsa yang terkejut cuba melarikan diri ke dalam rumah, namun gagal apabila rambutnya ditarik sehingga terjatuh,” katanya.


Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, lelaki itu turut memukul mangsa sebelum mencekik bekas kekasihnya itu sehingga sesak nafas dan hampir pitam.

“Malah lelaki itu juga mengugut ingin membunuh mangsa jika wanita terbabit enggan menerimanya semula sebagai kekasih.


“Mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan sebelum berpura-pura bersetuju ingin menjadi kekasihnya semula menyebabkan lelaki itu berhenti memukulnya,” katanya.

Menurutnya, selepas keadaan kembali tenang, lelaki terbabit terus beredar dan berjanji tidak mencederakan mangsa lagi.


Mangsa yang bimbang kejadian sama berulang kemudian membuat laporan di Balai Polis Rawang.


Jurucakap polis mengesahkan kejadian itu dan siasatan dijalankan.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment