Khidmat urut batin dalam khemah diserbu

Khemah dalam bilik urut dipercayai mampu menarik lebih ramai pelanggan datang ke premis ini.

PUCHONG – Khidmat mengurut dalam khemah! Kedengarannya luar biasa namun itulah yang ditawarkan pengusaha sebuah pusat urut haram di Bandar Puteri dekat sini bagi menarik pelanggan ke premisnya.

Khemah yang biasanya digunakan untuk tujuan aktiviti luar itu turut dilengkapi bantal dan tilam dipercayai bagi keselesaan pelanggan.

Difahamkan, aktiviti terbabit berlanjutan sejak beberapa bulan lalu sehinggalah orang awam memberi maklumat kepada Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana jijik dengan jenis perniagaan ditawarkan.

Dalam serbuan berasingan petang kelmarin, anggota penguatkuasaan MPSJ menyerbu tiga premis masing-masing di Bandar Puteri, Puchong.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dari pihak majlis.

Kesemua premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan menggunakan pintu besi serta menggunakan papan iklan palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kami dapati salah sebuah premis pusat urut menggunakan trend terbaru dengan meletakkan khemah di dalam setiap bilik.

“Ia dipercayai bagi menarik perhatian pelanggan yang ingin melanggan dan mendapatkan khidmat urut di situ,” katanya.

Beliau berkata, tiga set peralatan urut termasuk bantal, tilam, tuala dan minyak urut di setiap premis dirampas sebagai bukti perniagaan.

Katanya, tindakan penutupan premis dilaksanakan di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen dari MPSJ.

Kesemua pengusaha premis berdepan denda maksimum RM1,000.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment