Leka main game Candy Crush masa memandu, Marlia hampir terbabas

Marlia pernah melalui detik cemas dan hampir terbabas akibat leka bermain ‘candy crush’ tahun lalu.

KUALA TERENGGANU - Jika dulu, barang kemas dan perhiasan di badan dijadikan ukuran simbol kekayaan seseorang, namun kini ia bukanlah lagi satu-satunya kayu pengukur.

Peralatan komunikasi canggih seperti telefon pintar Blackberry, Android, iPhone, iPad dan komputer peribadi menjadi simbol status ‘kejayaan’ individu di dalam masyarakat.

Biarpun ia dicipta untuk memberi kemudahan kepada penggunanya kerana menggabungkan pelbagai aplikasi dalam satu gajet, namun tidak kurang juga implikasi buruk yang perlu ditanggung pengguna jika terlalu asyik dengannya.

Berkongsi satu kisah dilalui seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenal sebagai Marlia, 36, berkata, dia pernah melalui detik cemas dan hampir terbabas ketika memandu dan nyaris melanggar penunggang motosikal akibat leka bermain ‘Candy Crush’ tahun lalu.

Berikutan itu, dia menjadikan pengalaman tersebut sebagai pengajaran berguna dalam hidupnya kerana sebelum kejadian itu, telefon pintarnya tidak pernah lekang dari tangannya.

Malah, ada kalanya, makan dan minumnya setiap hari juga menjadi tidak teratur kerana ketagihan bermain ‘Candy Crush’ malah akan bermain permainan itu sehingga awal pagi apabila mengetahui rakan-rakannya sudah mengatasi pencapaiannya.

“Kawan pernah tegur dengan perubahan sikap saya. Tumpuan saya kepada mereka semakin kurang, malah apabila mereka bercakap saya tak ambil peduli sebab leka bermain (Candy Crush).

“Bukan setakat telefon pintar, laptop pun saya guna untuk bermain permainan itu jika berada di rumah. Saya selalu bersaing dengan rakan-rakan di laman sosial dan pernah belanja seorang rakan lelaki kerana dia berjaya mengatasi saya,” katanya.

Bagaimanapun dia akhirnya sedar permainan itu mampu merosakkan hidupnya, malah mengakibatkan kemalangan jalan raya jika kejadian tahun lalu berulang buat kali kedua.

Bagi kakitangan awam, Badrul Hisham Mohamad, 45, ramai kawannya merupakan penggemar malah ketagih permainan dalam telefon pintar termasuk ‘Candy Crush’,  dan bermain tidak kira waktu termasuk ketika berada di kedai kopi.

Katanya, memang diakui, dengan adanya permainan itu ia dapat membantu mereka yang terbeban dengan kerja mengurangkan tekanan.

“Namun boleh jadi sebaliknya jika disalahgunakan pada masa tidak sesuai. Ini kerana, kemesraan boleh renggang kerana tumpuan banyak kepada perkara lain.

“Ada kalanya kita seperti bercakap sendiri, manakala mereka sibuk dengan telefon masing-masing,” katanya.

Seorang suri rumah, Siti Zuhaila Mamat, 28, berkata, aplikasi di telefon pintar seperti menonton video, melayari internet dan bermain permainan video wajar digunakan pada masa lapang sahaja.

Mengakui gemar menggunakan aplikasi di telefon pintar, namun aktiviti itu hanya rancak selepas dia berhenti kerja dan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa semasa hamil anak pertama.

“Suami ketika itu mencadangkan saya isi masa lapang dengan perkara yang diminati kerana bimbang mungkin saya akan bosan apabila tinggal di rumah bersendirian. Selain menggunakan laman sosial Facebook, saya memilih bermain ‘Candy Crush’.

“Permainan ‘Candy Crush’ agak menghiburkan. Tetapi tidaklah sehingga saya mengabaikan tanggungjawab yang lain. Ia hanya sekadar untuk isi masa lapang,” katanya.

Dia bagaimanapun agak bimbang apabila mendengar cerita rakan-rakan yang memaklumkan ada antara mereka taasub dan sentiasa mahu bersaing mendahului mata pencapaian rakan lain dalam permainan tersebut.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. Kakak rasa bukan marlia aje mungkin tempat kita ni pun ramai yg macam dia..

    ReplyDelete