Kanak-kanak ini ghaib ke alam lain?

 
Sudah 18 tahun berlalu. Kalau Ting Song Sheng masih hidup, usianya kini 27 tahun. Namun sampai sekarang, Song Sheng yang hilang pada 15 Januari 1996, masih tidak ditemui. Di mana dia?

Kepada yang tidak mengetahui kisah ini, untuk pengetahuan anda, Song Sheng hilang ketika menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Taman Rasah, Klang untuk pulang ke rumahnya. Ada pihak mendakwa dia telah dilarikan sindiket lalu dijadikan pengemis di Thailand. Kalau benar, mengapa sampai sekarang pihak berkuasa negara berkenaan gagal mengesannya?

Gan Kim Choo dan isterinya, Tin Kuwi Diun telah menghabiskan wang sebanyak RM40,000 untuk mencari Song Sheng, termasuk menggunakan khidmat 80 orang bomoh, namun semuanya hampa.

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Song Sheng?

Kehilangan Song Sheng memang misteri, tapi kes kehilangan seorang kanak-kanak di Kampung Gantuk, Mentakab, Pahang, pada 28 November 1998 lebih pelik. Pagi itu Zulaiha Muhamad, 6, bermain dengan adiknya, Muhamad Nur Rahman, dua setengah tahun, di bawah pokok jambu mawar di halaman rumahnya. Ibu mereka, Kamariyana Osman pula sibuk menyapu sampah.

Oleh kerana sakit perut, Kamariana meninggalkan mereka dan bergegas ke tandas. Namun sekembalinya Kamariyana ke halaman, didapatinya Zulaiha tiada. Ke mana menghilangnya Zulaiha? Muhammad Nur berlari datang dari balik sebatang pokok sambil menjerit-jerit. Dia menangis dan memberitahu bahawa kakaknya itu jatuh di pangkal pokok jambu tersebut.

Kalau setakat jatuh, mengapa Zulaiha tiada di situ? Muhamad Nur tidak dapat memberikan jawapan.

Usaha mencari dilakukan segera. Pihak polis menghantar anjing pengesan, beberapa buah bot dan helikopter untuk menyusuri Sungai Semantan yang terletak 200 meter dari rumah Kamariyana. Namun Zulaiha tidak ditemui. Selepas lebih hampir dua minggu berusaha, akhirnya operasi itu terpaksa dihentikan.

Bagaimana Zulaiha boleh ghaib dalam waktu yang sebegitu cepat? Ada pendapat mengatakan kanak-kanak itu pergi ke Sungai Semantan dan lemas. Persoalannya, kalau benar begitu, kenapa tiada seorang jiran pun yang melihatnya sedangkan Zulaiha memerlukan kira-kira 10 minit untuk ke sana.

Zulaiha lemas di sungai? Kalau benar, kenapa tidak ada kesan tapak kaki, seliparnya mahupun kesan tergelincir di tebing sungai? Mengapa mayatnya tidak dijumpai? Dia diculik? Soalnya, mengapa ramai jiran yang pagi itu berbual dan mengemas halaman tidak melihat kejadian tersebut. Juga tidak kedengaran langsung suara jeritan, raungan atau kesan pergelutan.

Kedua, kenapa Muhamad Nur tidak diculik sekali? Muhamad Nur malah tidak memberitahu pun ada seseorang telah membawa Zulaiha pergi.

Andaian yang tinggal sekarang sangat aneh. Ada pihak yang mengatakan, Zulaiha sebenarnya telah dibawa ke alam lain. Dia telah disedut masuk ke dalam dunia ghaib oleh makhluk halus yang tinggal di pangkal pokok jambu mawar!

Apatah lagi menurut bapa kanak-kanak tersebut, Muhamad Petah, 42, berlaku kejadian-kejadian pelik sebelum Zulaiha hilang. Pertama, anaknya, Siti Rofeah pernah terhidu bau wangi di pangkal pokok tersebut dan bau itu melekat pada badannya selama beberapa hari.

Esoknya, seekor kucing mereka enggan masuk ke rumah dan hanya mahu tidur di bawah pokok berkenaan. Seorang bomoh yang cuba mencari Zulaiha pula tiba-tiba berasa tubuhnya bagaikan ditarik oleh suatu kuasa ghaib ke arah pangkal pokok jambu itu. Puas dia mengelak hingga tubuhnya terpelanting.

Kalau kisah itu belum cukup misteri, bagaimana dengan peristiwa ini pula. Pada pukul sekitar pukul 10.30 pagi, 6 November 2004, Baharudin Sallehuddin, 6, bersama adiknya, Budin, 5, dan Asmira, 3, hilang ketika bermain-main berhampiran pondok yang dibina oleh bapanya di ladang getah Felcra Mambang Seberang, Paloh Hinai, Pekan, Pahang.

Misterinya ialah ketiga-tiga beradik ini ditemui semula lima hari kemudian di sebuah pulau kecil dipenuhi belukar dan dikelilingi paya, enam kilometer dari pondok tempat kali terakhir mereka dilihat!

Apa yang berlaku kepada mereka? Kisah yang diceritakan oleh tiga beradik ini sangat pelik. Kata Baharudin, akibat leka bermain, mereka telah berjalan hingga 1.5 kilometer dari pondok tersebut. Ketika itulah mereka terserempak dengan seorang lelaki berbadan sasa yang membawa seekor anjing berwarna hitam.

Lelaki itu mengarahkan Baharudin, Budin dan Asmira duduk di belakang anjing tersebut, lalu haiwan itu membawa mereka bersiar-siar. Sampai di suatu tempat, anjing tersebut melompat melepasi sebatang parit selebar 10 meter yang memisahkan Felcra Mambang Seberang dengan kawasan sekitarnya.

Tiga beradik tadi terus dibawa bersiar-siar sehingga sampai di Tanjung Cempaka, Lepar, enam kilometer dari Felcra Mambang Seberang. Lewat petang, lelaki berbadan sasa yang dipenuhi bulu itu mengarahkan pula anjingnya berenang merentasi sebuah paya.

Sambil membawa tiga beradik itu di atas belakangnya, anjing tersebut berenang sehinggalah sampai di sebuah pulau yang dipenuhi belukar. Sekeliling pulau itu hanyalah paya yang sedalam 1.2 meter. Baharuddin dan adik-adiknya diturunkan dari belakang anjing berkenaan.

Menjelang senja, datang seorang nenek dan memberikan mereka buah-buahan. Di situlah Baharudin, Budin dan Asmira terdampar, hinggalah ditemui oleh polis lima hari kemudian, iaitu pada pukul 5.45 petang 10 November 1995.

Pembaca sekalian, apa yang berlaku ini memang misteri. Akal yang waras tidak dapat menjawab persoalan bagaimana tiga beradik itu boleh sampai di pulau berkenaan. Mustahil juga mereka boleh pergi ke tempat sejauh itu dan melintasi parit selebar 10 meter, kalau tidak dibantu oleh `sesuatu.’

Sumber

3 comments:

  1. Habis tu MH 370 hilang sampai sekarang lagi misteri, 239 orang sekali hilang!

    ReplyDelete
  2. Anonymous nak kata makhluk ghaib larikan kapalterbang ke? Hehe buat apa kapalterobang bang dorang boleh terobang sendiri

    ReplyDelete