Bayar wang darah RM1.3 juta, lelaki terlepas hukuman potong kaki

Riyadh: Seorang lelaki di Arab Saudi yang dijatuhi hukuman potong kaki kerana menyebabkan kecederaan sama ke atas rakannya dalam satu pergaduhan, terselamat daripada hukuman itu selepas membayar wang darah 1.5 juta rial (RM1.3 juta) kepada mangsa, lapor akhbar tempatan.

Mahkamah di bandar Rafha di utara Arab Saudi, memberi tempoh kepada Talal bin Khalaf Al Shammri, tiga bulan untuk membayar wang darah kepada mangsa, atau dipotong kaki, mengikut undang-undang Islam di negara itu.

Kami berjaya mengumpulkan jumlah wang yang dikehendaki itu minggu ini, dengan bantuan pemimpin puak dan sumbangan orang dermawan, kata abang Talal, Hadeeb kepada akhbar Sabq.


Beliau berkata, mangsa, Mohammed Al Mutairi datang ke mahkamah Selasa lalu dan memberitahu hakim, beliau bersedia mengampunkan Shammari selepas menerima wang darah daripadanya.

Akhbar Sabq melaporkan pembayaran wang diya iut juga bermaksud Shammari akan dibebaskan tidak lama lagi.

Shammari menembak kaki Mutairi dalam satu pergaduhan di bandar kediaman mereka enam tahun lalu dan doktor mengambil keputusan untuk memotong kakinya yang tidak dapat lagi diselamatkan akibat cedera parah. AGENSI

BH 


1 comment: