Bumbung rumah terbang berpusing-pusing akibat ribut

Kerja membaik pulih kerosakan dilakukan semalam.

JASIN - Ribut yang melanda di Kampung Merlimau Tengah, di sini, semalam menyebabkan sebuah rumah yang didiami ibu tunggal bersama tiga daripada lima anaknya rosak.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu menyebabkan rumah didiami keluarga terbabit rosak pada bumbung, manakala lampu di bilik belakang pecah.

Anak kedua ibu tunggal berkenaan, Sayyidah Nafisah, 25, berkata, sebelum kejadian, dia menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat sebelum melihat bumbung rumah di bahagian koridor terangkat dan berpusing-pusing tidak kurang dua kali.

"Saya segera mengejutkan ibu dan adik beradik yang lain untuk berlindung dalam sebuah bilik sebelum membuka pintu bagi mendapatkan pertolongan," katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana ketika kejadian, bilik hujung yang selalu digunakan adiknya tidak berpenghuni ketika lampu tersebut jatuh dan kaca berselerak di ruang bilik terbabit.

“Inilah pertama kali kami dilanda ribut sejak mendiami rumah ini lebih 10 tahun lalu.

“Walaupun mengalami kerosakan namun bernasib baik tiada ahli keluarga yang cedera dan kebetulan adik pula tidak tidur di bilik belakang pada malam kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sayidah Nafisah berkata, ibunya juga telah membuat laporan polis berhubung insiden itu dan berharap kerosakan bumbung rumah dapat dibaiki segera.

Sementara itu, Setiausaha Japerun Dun Merlimau, Suhaimi Ahmad berkata, pihaknya bersama wakil kebajikan Dun Merlimau bagi mewakili Adun Melimau, Roslan Ahmad melawat rumah mangsa dan menghulurkan bantuan awal.

Menurutnya, disebabkan kerosakan hanya di bahagian depan rumah, mangsa masih dibenarkan tinggal di rumah mereka sendiri dan pihaknya akan membantu membaik pulih kerosakan.

Sinar Harian

3 comments: