Anak tak guna, pecah masuk rumah ibu sendiri

Azman (tiga, kanan) menunjukkan peralatan yang ditemui selepas menahan lelaki berusia 30an bersama rakannya yang memecah masuk rumah ibunya.

MUAR - Misteri kehilangan pelbagai peralatan termasuklah perkakasan elektrik milik seorang wanita di rumahnya terjawab apabila anaknya ditahan polis, kelmarin.

Suspek yang dipercayai bersubahat dengan seorang rakannya diberkas polis di rumah rakannya itu yang terletak berhampiran dengan kediaman wanita malang itu di Parit Perupok, di sini.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, anak lelaki wanita terbabit yang berusia 33 tahun bersama rakannya berumur 18 tahun ditahan kira-kira jam 2 pagi bersama sebahagian barang curi serta peralatan melakukan pecah rumah.

Menurutnya, kegiatan anak wanita terbabit kerap mencuri di rumah sendiri itu terbongkar apabila ibunya menyedari kediaman yang berkunci dipecah masuk pukul 10.30 pagi, Selasa lalu.

“Sebelum ini wanita berusia 50an yang tinggal sendirian setelah kematian suaminya beberapa tahun lalu sering mengadu barangan dalam rumahnya selalu hilang.

“Segalanya terjawab apabila anaknya bersama rakan ditahan tidak jauh dari rumah wanita berkenaan.

“Antara barangan curi yang dirampas ialah sebuah motosikal Honda EX-5; satu mesin rumput; sebuah televisyen jenama Panasonic; dua lampu tembaga, dua penembak paku, dapur dan tong gas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, kelmarin.

Azman berkata, anak wanita terbabit dikatakan jarang pulang ke rumah keluarga dan kerap tinggal di rumah rakannya sejak aktif melakukan kegiatan terbabit.

“Suspek mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan dadah.

“Rakan suspek pula yang berasal dari Batu Anam, Segamat tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan jenayah atau dadah,” katanya.

Beliau memberitahu kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan direman sehingga hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1957.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment