Pelakon Adi Putra dimasukkan ke wad kecemasan, Yusof Haslam dikejar ke hospital selepas rebah

GAMBAR Adi Putra yang sedang terlantar di sebuah hospital yang dimuatkan dalam Instagram milik isterinya, Zuhaidah Yusof dua hari lalu.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pelakon popular Adi Putra berada di wad kecemasan sebuah hospital di ibu negara selepas mengalami masalah kesihatan pagi ini.

Bagaimanapun, isterinya, Zuhaidah Yusof, 38, ketika dihubungi Utusan Online enggan menjawab sebarang soalan, termasuk keadaan suaminya dan hospital berkenaan.

"Maaf saya tidak boleh beritahu apa-apa sekarang. Kami masih berada di wad kecemasan," katanya ketika dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Zuhaidah dalam laman Instagramnya kira-kira pukul 9 pagi ini memaklumkan bahawa beliau sedang berada di dalam ambulans untuk membawa Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 32, ke hospital.

Dua hari lalu, isterinya turut memuatkan gambar Adi sedang terlantar di hospital tetapi tidak memberikan penjelasan berhubung punca pelakon lelaki digilai itu dimasukkan ke hospital.

Adi sebelum Aidilfitri lalu dilapor berada di Mekah kerana menunaikan umrah. - UTUSAN ONLINE

[KEMASKINI]

Adi Putra cuma keletihan, kini dirawat di Surabaya

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pelakon popular Adi Putra, 32, dimasukkan ke hospital hari ini berpunca daripada bebanan kerja dan kurang istirehat.

Pelakon dan pengarah filem Suami Aku Ustaz itu bukan dimasukkan ke hospital tempatan tetapi sedang menjalani rawatan di salah sebuah hospital di Surabaya, Indonesia.

Menurut Presiden 1 Hotlovers, Che Zaipah Abdul, pelakon tersebut berada di sana bagi menjalani klip video untuk lagu yang bakal dimuatkan dalam filem Suami Aku Ustaz.

"Ya memang benar Adi dimasukkan ke hospital pagi tadi. Kejadian berlaku sewaktu dia sedang menjalani penggambaran klip video untuk filem Suami Aku Ustaz.

"Setakat ini saya difahamkan yang Adi mengalami keletihan melampau hingga kesihatannya terganggu. Sejak dia balik daripada umrah sebelum raya hingga sekarang, dia tidak henti bekerja," kata presiden kelab peminat pelakon itu kepada Utusan Online hari ini.

Turut berada di sisi Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim adalah isterinya, Zuhaidah Yusof, 38. - UTUSAN ONLINE


Yusof Haslam dikejar ke hospital selepas rebah

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, 59, dikejarkan ke Hospital Tawakal di sini setelah rebah di rumahnya kira-kira pukul 9 pagi ini.

Menurut anaknya yang juga seorang pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof, keadaan ayahnya masih belum diketahui kerana pihak hospital memerlukan sedikit masa bagi mengenal pasti masalah kesihatan pengarah tersebut. - UTUSAN ONLINE

[KEMAS KINI]

Yusof Haslam Hidap Penyakit Batu Karang, Bedah Petang Ini

 PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam, 59, bakal menjalani pembedahan membuang batu karang di Hospital Pakar KPJ Tawakkal di sini selepas dimasukkan ke hospital itu pagi Isnin.

Isterinya Datin Patimah Ismail berkata, Yusof dikejarkan ke hospital itu kira-kira pukul 9 pagi Isnin selepas mengadu sakit pada bahagian perut ketika bangun pagi untuk solat Subuh selain mengalami kencing berdarah.

"Saya mula risau apabila dia hampir pengsan kerana menahan sakit selain wajahnya menjadi pucat. Saya tidak mengetahui punca sebenar kesakitan yang dialaminya dan terus membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Patimah memberitahu doktor mengesahkan suaminya mengalami penyakit batu karang dan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelak keadaannya bertambah teruk.

Katanya, Yusof akan menjalani pembedahan secara laser pada bahagian kanan perutnya pada petang Isnin.

"Keadaan suami sekarang stabil selepas doktor memberikan ubat tahan sakit sebelum menjalani pembedahan yang dijadualkan pada petang ini.

"Doakan supaya dia selamat menjalani pembedahan itu dan kembali sihat," katanya.

Dalam perkembangan sama, Patimah berkata, sebelum ini Yusof tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda penyakit batu karang dan hanya mengetahui perkara itu apabila dirujuk ke hospital pada pagi Isnin.

mstar.com.my

3 comments:

  1. Salam redza..selamat hari raya redza..:)

    Semoga mereka berdua cepat2 sembuh ..amin

    ReplyDelete
  2. semoga keduanya sehat sejahtera ..cpt sembuh

    ReplyDelete