Seorang lelaki nyaris disembelih tiga penyamun

GUA MUSANG - Seorang pemandu jengkaut nyaris disembelih tiga penyamun yang menceroboh bilik tidur rumah sewanya di kawasan Perindustrian, dekat di sini, awa pagi Rabu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 pagi itu, Foo Tim Fook (gambar), 58, hanya cedera di dahi kanan apabila ditetak dengan parang oleh penyamun terbabit sebelum melarikan diri selepas menyamun wang tunai dan barang kemas miliknya.

“Saya pada mulanya cuba melawan ketiga-tiga penyamun terbabit, tetapi sebaik mereka mengeluarkan parang terpaksa mengalah dan menyerah semua wang tunai sebanyak RM1,400 bersama barang kemas,” katanya.

Beliau ditemui di tempat kejadian berkata, ketika kejadian dia berada seorang diri dalam sebuah bilik tidur dan terdengar bunyi pintu biliknya sedang diumpil orang tidak dikenali.

Katanya, ketika itu dia masih belum tidur dan sebaik terdengar bunyi perkara berkenaan terus bergegas membuka pintu biliknya perlahan-lahan untuk mengintai siapa yang melakukan perkara terbabit.

“Sebaik saya cuba membuka pintu, tiga lelaki yang menutup muka dengan kain terus menendang pintu dan menceroboh masuk menerkam ke arah saya kerana cuba melayan mereka.

“Tetapi, selepas saya melihat mereka mengeluarkan senjata parang dan cuba menyembelih saya dengan meletak parang itu leher terpaksa membiarkan mereka selongkar dalam bilik tidur,” katanya.

Foo berkata, ketika itu juga mereka mengikat kedua-dua tangan saya dengan tali sebelum meninggal dia dalam keadaan begitu sambil menetak dahinya sebelum melarikan diri.

“Saya terpaksa menggerakkan tangan saya sendiri untuk membuka ikatan tali sebelum berjaya berbuat demikian dan mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang (HGM),” kataya.

Katanya, penyamun terbabit juga dipercayai datang dengan sebuah kenderaan yang diletakan di belakang bilik rumah sewanya sebelum memanjat pagar untuk ceroboh bilik tidur.

“Tiga penyamun itu mungkin cuba menceroboh sebuah lagi bengkel lain tidak jauh dari bilik tidurnya, tetapi terserempak dengan seorang penduduk lalu terus melarikan diri,” katanya.

Beliau merayu kepada pihak berkuasa melakukan rondaan lebih kerap di kawasan perindustrian itu kerana penduduk bimbang keselamatan mereka berhubung kejadian samun sejak kebelakangan ini.

Sinar Harian


No comments:

Post a Comment