Remaja 16 tahun gaduh berparang di Desa Petaling

Gambar hiasan. Foto: Google

Kuala Lumpur: Usianya baru 16 tahun namun layak digelar ‘samseng junior’ apabila terbabit dalam satu pergaduhan bersenjata parang dan pisau di Desa Petaling sebelum dia bersama rakannya yang lain ditahan polis yang melakukan rondaan.

Dalam kejadian pada jam 7.50 pagi Rabu lalu, remaja lelaki terbabit bersama dua rakannya masing-masing memiliki sebilah parang berselisih faham dengan dua lelaki yang turut membawa sebilah pisau.


Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, enam anggota polis yang melakukan Operasi Cantas Khas (Op Cantas) di kawasan itu terserempak dengan kumpulan itu dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis kemudian memeriksa badan mereka sebelum menemui tiga parang dan pisau dan hasil soal siasat mendapati mereka bergaduh sesama sendiri.


“Semua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk siasatan lanjut.


“Mereka ini antara 18 orang yang ditahan sejak Op Cantas dijalankan bermula 17 Ogos hingga semalam dan operasi itu akan diteruskan lagi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di IPD Cheras, semalam.

Mohan Singh berkata, sejak operasi itu dijalankan, pihaknya memeriksa 78 orang membabitkan 70 lelaki dan lapan wanita di lebih 30 lokasi serta premis.

MyMetro

2 comments: