3 ahli kongsi gelap 08 tembak polis

Anggota forensik mengumpul bahan bukti serta menemui sepucuk pistol di kawasan Taman Sentosa. - Foto Osman Adnan

Suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di Klang

Shah Alam: Tiga anggota kumpulan kongsi gelap 08 yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta peronda polis yang mengejar kenderaan mereka, ditahan selepas beberapa jam bersembunyi di Klang, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 pagi semalam apabila ketiga-tiga lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu, dikejar anggota peronda melalui Lebuh Raya Guthrie Coridor, Seksyen 20 hingga ke Taman Sentosa, sebelum kereta PERODUA Viva yang dinaiki mereka terlanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan terbabas melanggar pembahagi jalan.


Akibat pelanggaran itu, ketiga-tiga suspek melarikan diri dengan meninggalkan kereta yang dinaiki sebelum seorang daripada mereka ditahan, kira-kira jam 3.30 pagi.

Thaiveegan berkata, seorang lagi suspek yang sedang bersembunyi di dalam longkang di kawasan berdekatan ditahan tidak lama kemudian manakala suspek ketiga ditahan kira-kira jam 9.15 pagi semalam dalam kebun sawit berdekatan.

Terima maklumat

“Kira-kira jam 2.30 pagi tadi (semalam) polis peronda menerima maklumat mengenai tiga lelaki berkelakuan mencurigakan dalam kereta PERODUA Viva di sebuah restoran di Subang Perdana.

“Peronda menghampiri kereta berkenaan dan meminta ketiga-tiga lelaki itu keluar dari kereta, tetapi mereka bertindak menghidupkan enjin kereta, mengundurkan kenderaan itu sebelum memecut laju.

“Anggota peronda mengejar mereka sehingga ke Lebuh Raya Guhtrie Coridor dan ketika di situ, mereka menyedari suspek melepaskan dua das tembakan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Thaiveegan berkata, apabila mereka tiba di Seksyen 20, dua das tembakan lagi dilepaskan tetapi ia tidak menghalang anggota peronda mengejar mereka hingga ke Taman Sentosa.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan didapati tersenarai dalam senarai nama anggota kumpulan 08 yang ada pada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati seorang daripada mereka mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun dan dadah.

BH

2 comments: