Belut aku hilang, mempelam aku hilang, selipar aku hilang

 
'BELUT AKU HILANG'

Parit Buntar: Hasrat seorang bapa membelikan anak sulungnya basikal baru terpaksa ditangguhkan apabila 30 kilogram belut dikumpulnya untuk dijual lesap dikebas pencuri.

Dalam kejadian di Sungai Labu,Tanjung Piandang, di sini, semalam, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Syuib, 43, berkata, kejadian berkenaan disedarinya kira-kira jam 7.30 pagi apabila mendapati semua belut yang dikumpulnya selama tiga hari hilang.

Menurut Syuib, lebih mengejutkannya apabila terdapat sebatang penyauk yang patah di tepi tong penyimpanan dipercayai digunakan pencuri untuk mencuri belut berkenaan.

“Saya terkejut apabila mendapati semua belut itu sudah tiada ketika hendak keluar menjualnya kepada peraih dan kejadian ini bukanlah yang pertama kali di kampung ini kerana sebelum ini terdapat juga penduduk mengalami nasib sama.

“Hasrat saya dan isteri untuk menghadiahkan anak basikal tidak kesampaian dan terpaksa melupakan hasrat itu kerana mengalami kerugian kira-kira RM400,” katanya.

Menurutnya, harga belut yang kini mencecah RM13 sekilogram menyebabkan kegiatan mencuri hasil tangkapan itu semakin menjadi-jadi di kampung berkenaan.


'MEMPELAM AKU HILANG'

 Kegembiraan seorang pengusaha ladang dengan kehadiran musim harumanis bertukar kesedihan apabila kira-kira 200 kilogram buah mempelam dianggarkan bernilai RM3,000 dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Kejadian hanya disedari jam 9 pagi ketika mangsa Ismail Kamis, 57, tiba di ladangnya di Kampung Baru Panggas, Chuping, di sini, untuk memetik mempelam Perlis Sunshine bagi dijadikan cenderahati sebuah program yang berlangsung.

Ismail berkata, dia pergi ke ladang berkenaan untuk memetik buah mempelam Perlis Sunshine sebelum melihat bungkusan kertas yang membalut buah harumanis berselerakan di bawah hampir setiap pokok berkenaan.

“Saya kemudian memeriksa setiap pokok mempelam Perlis Sunshine dan mendapati terdapat kesan buah dipetik.

Apabila meneruskan pemeriksaan, saya terkejut apabila melihat tiada langsung bungkusan kertas pada sembilan pokok harumanis di hujung kawasan ladang.

“Berikutan itu, saya tidak mampu berkata apa-apa kerana mengalami kerugian, sedangkan baru datang melihat dan mendapati semalam (kelmarin) adalah waktu sesuai untuk memetik buah terutama mempelam harumanis,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kali pertama kepadanya sejak mengusahakan ladang terbabit secara sewaan lebih tujuh tahun lalu dan percaya buah mempelam harumanis berkenaan dicuri pada malam sebelumnya.

Katanya, dia menganggarkan tidak kurang 200 kilogram buah mempelam harumanis bernilai lebih RM3,000 dilarikan pihak tidak bertanggungjawab berdasarkan harga jualan ladang antara RM15 hingga RM20 sekilogram.

“Walaupun masih mempunyai 80 pokok mempelam Perlis Shushine yang mampu mengutip hasil antara lapan hingga sembilan tan, namun saya terkilan kerana ada pihak cuba mengaut keuntungan kerana harga jualan harumanis ketika ini mencecah RM25 sekilogram.

“Saya juga percaya mereka juga berhasrat memetik sebanyak mungkin buah mempelam Perlis Sunshine berdasarkan longgokan pembungkus kertas yang berselerakan di bawah setiap pokok tetapi mungkin tidak mempunyai masa mencukupi,” katanya.

Menurutnya, dia percaya pencuri buah itu masuk ke ladangnya dengan memotong kawat berduri di bahagian penjuru hadapan pagar ladangnya berdasarkan kesan yang diperolehi.

“Mungkin bukan rezeki tahun ini, tetapi saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kerana tidak mempunyai bukti.

Saya menerima perkara ini sebagai takdir dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa dan siasatan sedang dijalankan.


'SELIPAR AKU HILANG'

Seorang penyanyi tempatan, bingung apabila mendapati pencuri yang memecah masuk rumahnya di Cyber City Fasa II, di sini, Jumaat lalu, lebih berminat melarikan sepasang selipar baru berbanding komputer riba.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, artis tempatan itu, Norminah Sailun, 27, atau dikenali sebagai Qiss berada di luar daerah ketika kejadian terkejut sebaik pulang mendapati pintu hadapan terbuka manakala keadaan dalam rumahnya berselerak.

Selepas melakukan pemeriksaan, mangsa mendapati televisyen dan tablet termasuk sepasang selipar miliknya hilang, dipercayai dilarikan pencuri.

“Saya yang memasuki rumah terkejut mendapati keadaan berselerak dan yakin dimasuki pencuri.

“Saya hairan komputer riba berjenama Apple yang ada di atas katil dalam bilik serta sistem teater rumah di ruang tamu tidak terusik.

“Sebaliknya pencuri lebih tertarik dengan selipar berharga RM40 dan menggantikannya dengan sepasang selipar buruk.

“Kejadian ini menyebabkan saya mengalami kerugian RM5,000,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Norminah berkata, ketika kejadian tiada siapa di rumah kerana dia bekerja di luar daerah manakala adiknya pulang ke kampung.

“Saya mengunci semua pintu sebelum meninggalkan rumah pada 15 April lalu sebelum pulang tiga hari kemudian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh mengesahkan kejadian itu dan menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

3 comments:

  1. Jelas dari tiga-tiga kisah semuanya menandakan negara kita kian terancam keamanannya berbanding dulu tak kita di bandar mahupun kampung.

    ReplyDelete
  2. ni akibat dari kos hidup yg meningkat-xde duit...curi!
    Tuggulah bila kena GST nanti banyak lagilah kerja mencuri 'kecil-kecilan" ni. Masa harga getah naik depe curi getah, musim buah curi buah, xde musim pecah rumah!

    ReplyDelete