Seorang warga Hong Kong ditahan cuba seludup 48 kg kokain

Hong Kong: Seorang warga Hong Kong berusia 35 tahun yang juga seorang cef ditahan selepas cuba menyeludup 48 kilogram (kg) kokain dari Brazil, dua hari lalu, satu rekod bagi seorang penumpang pesawat.

Rampasan itu adalah satu daripada dua kes rampasan kokain mutu tinggi bernilai HK$58 juta (RM24.5 juta) pada hari sama di lapangan terbang Chek Lap Kok.

Kes kedua membabitkan wanita Russia, 22, yang didapati membawa 12kg dadah. Mereka menaiki pesawat dari Brazil ke Hong Kong tetapi tiada sebarang perkaitan antara mereka. Kedua-duanya transit di Beijing, laluan baru pengedar dadah dari Amerika Selatan, kata Ketua Jabatan Eksais dan Kastam, Ng King-hong.

Ia adalah rampasan kokain ketiga dalam tempoh lima hari dari penumpang yang tiba dari Amerika Selatan.

Berat dua rampasan pada Sabtu lalu adalah kurang 2kg daripada rekod tertinggi pada 2011.

Transit di Madrid, Beijing

Cef dan wanita Russia itu melakukan perjalanan selama 27 jam membabitkan tiga penerbangan dari Sao Paulo, Brazil.

Dua tempat transit lain ialah Madrid dan Beijing. Pengedar dadah Amerika Selatan biasanya transit sekali sama ada di lapangan terbang Eropah, Afrika atau Asia Barat termasuk Dubai.

Ketulan kokain seberat 48kg itu dimasukkan dalam dua beg dan dibungkus empat lapisan untuk dielak daripada dapat dihidu anjing pengesan. Wanita Russia itu yang mendakwa menganggur, menyembunyikan tiga kilogram dadah dalam beg bimbitnya.

Dua kes itu terbongkar selepas jabatan berkenaan membuat pemeriksaan mengejut tanpa maklumat risikan.

Ketua biro siasatan dadah kastam Hong Kong, Donald Wong Sui-cheung, berkata pihaknya bekerjasama dengan rakan di Brazil bagi membongkar pembabitan sindiket dadah.

Siasatan awal menunjukkan dua penumpang berkenaan tidak bersaudara dan mungkin menerima arahan ketua sindiket dadah, kata Wong.
AGENSI

BH

2 comments: