Filem seram tempatan perbodohkan minda Melayu

KUALA LUMPUR - Dua tokoh akademik menyifatkan tindakan pengurusan stesen televisyen tempatan melambakkan filem hantu dan seram ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai perbuatan kurang bertanggungjawab.

Menurut mereka, kebanyakan filem hantu yang lucu itu sebenarnya cerita bodoh yang merendah-rendahkan cara pemikiran penonton terutamanya golongan Melayu ke tahap paling rendah.

Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan (gambar) berkata, pembikin filem-filem Melayu seharusnya berfikiran ke hadapan bagi menghasilkan karya bermutu.

Beliau berkata, pemikiran mereka perlu setanding dengan tahap pemikiran masyarakat yang semakin maju.

"Kebanyakan filem Melayu seram sekarang apabila kita tonton langsung tidak menimbulkan rasa seram atau takut, sebaliknya menjadi sesuatu yang lucu dan bodoh.

"Filem-filem seperti ini sangat memperbodohkan orang Melayu dan memberi kesan negatif daripada segi persepsi bahawa tingkat pemikiran mereka sangat rendah, walhal realitinya tidak seperti itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

KOSMO!


1 comment: