Sabah diceroboh: Penceroboh kibar bendera putih perangkap komando

Pasukan Unit Komando di Sub-Taktikal Kuarter kira-kira satu kilometer dari Kampung Tanduo berkawal sementara menunggu arahan dalam usaha menumpaskan penceroboh di Kampung Tanduo
Perdana Menteri berkata, perkara itu disahkan oleh salah seorang anggota VAT 69 yang terbabit dalam pertempuran di kubu kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari selatan Filipina.

Dalam kejadian tersebut, dua anggota komando polis Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dan Koperal Sabarudin Daud, 46, terkorban setelah terkena tembakan daripada kumpulan penceroboh itu di kampung tersebut yang terletak kira-kira 130 kilometer dari pekan Lahad Datu.

Dalam insiden itu, tiga lagi anggota keselamatan negara cedera dan 12 anggota kumpulan itu maut.

Najib berkata, beliau dimaklumkan bahawa dua anggota polis yang terbunuh itu telah melihat bendera putih dikibarkan sebelum rakan kumpulan penceroboh itu memerhati gerakan anggota polis itu sebelum melepaskan tembakan.

"Saya tidak menolak kemungkinan itu satu perangkap oleh kumpulan itu dan ia adalah satu taktik pengecut," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini, hari ini.
Pasukan Unit Komando yang berkawal di Sub-Taktikal Kuarter
kira-kira satu kilometer dari Kampung Tanduo masih bersedih
atas kematian rakan seperjuangan mereka.
 Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang berkenan meluangkan masa bersama keluarga Zulkifli dan Sabarudin serta menyampaikan sumbangan peribadi baginda.

Pesawat Charlie 130 TUDM yang membawa jenazah kedua-dua wira negara tiba dari Tawau pada pukul 12.30 tengah hari dengan disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh anggota keluarga serta mereka yang hadir.

Najib turut mengiringi jenazah ketika diusung keluar dari pesawat ke bilik menunggu untuk diberi penghormatan terakhir.

Kedua-dua jenazah itu kemudian dibawa pulang oleh keluarga untuk dikebumikan di kampung masing-masing.
Jenazah Zulkifli diiiringi oleh balunya, Noraziah Noor dan dua anak lelakinya berusia satu dan empat tahun manakala jenazah Sabarudin diiringi oleh oleh balunya, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak mereka iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Jenazah Zulkifli diterbangkan dengan pesawat CN235 TUDM dari Subang ke Pangkalan TUDM Gong Kedak, Besut, Terengganu, sebelum dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Kubang Ikan, Jertih untuk disembayangkan.

Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Bayor, Jertih selepas solat Asar nanti.

Jenazah Sabarudin pula dibawa pulang ke kampungnya di Sungai Lias, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. - Bernama


No comments:

Post a Comment