Sabah diceroboh: Malaysia perlu bina tembok sempadan negara


KUALA LUMPUR - Malaysia perlu melihat kembali keadaan sempadan negara bagi mengukuhkan kedaulatan negara dengan membina tembok ataupun mengadakan pagar, demikian menurut bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Hamid.

Beliau berkata, jika Malaysia boleh mengadakan tembok pemisah di selatan Thailand, langkah yang sama wajar diambil di Sabah yang bersempadan dengan Filipina susulan insiden pencerobohan baru-baru ini.

"Perkara berkaitan sempadan negara perlu diambil perhatian serius memandangkan Malaysia bersempadan dengan tujuh negara lain.

"Banyak isu lain perlu juga diberikan perhatian bagi mengelak insiden di Lahad Datu berulang," kata beliau berucap pada sesi khas Forum Negara bertajuk Keselamatan Negara: Benteng Keamanan dan Kedaulatan Untuk Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di bangunan Parlimen, pagi ini.

Beliau juga menyarakan penduduk yang berada di kawasan sempadan negara menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan.

Tambah beliau, berhubung insiden itu, penduduk di tempat itu mengetahui tentang kewujudan orang asing lebih awal tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Kita tidak tahu mengapa mereka tidak lapor, mungkin ada daripada mereka ada pertalian keluarga dengan pengganas berkenaan.

"Sebenarnya semua pihak perlu mengambil bahagian kerana dengan kerjasama ini dapat memberikan keupayaan pasukan keselamatan membanteras jenayah," jelas beliau lagi. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment