8 wira negara dikenang


Kuala Lumpur: Semua lapan wira negara yang terkorban dianugerahkan pangkat secara Medan Posthumous dalam majlis sambutan sempena Hari Polis ke-206 yang berlangsung di Pulapol, di sini, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada balu dan waris pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam krisis pencerobohan di Sabah.


Ketika penganugerahan berkenaan dijalankan, suasana hening menyelubungi semua hadirin terutama keluarga wira negara tatkala melihat anak tunggal Deputi Superintendan Michael Padel, yang memakai baju kemeja dan berseluar hitam tanda masih berkabung atas kematian bapanya.

Antara wira negara yang terkorban bagi mempertahankan negara adalah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, Sarjan Sabarudin Daud, Koperal Mohd Azrul Tukiran, Sarjan Mejar Baharin Hamid, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sakirun, dan Sarjan Salam Togiran.


Noor Aziah Noor, 28, balu kepada kepada pegawai VAT-69 yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Sabah, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat ketika ditemui wartawan berkata biarpun masih lagi bersedih atas kehilangan suami namun saya amat terharu dan bangga dengan pengorbanan arwah.


“Kehilangan suami tercinta amat menyedihkan tapi bila difikirkan semula ia adalah satu pengorbanan yang harus dilakukan oleh seorang anggota keselamatan negara dan saya reda dengan ketentuan ini.

“Diharap pengorbanan yang dilakukan oleh semua anggota keselamatan yang terkorban dalam peperangan tempoh hari sentiasa menjadi ingatan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya selepas menerima anugerah kenaikan pangkat itu di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), semalam.


Sementara itu, balu kepada Deputi Superintendan Micheal Padel, Jabah Mingku, 35, berkata pemberian ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia terhadap keperitan yang harus ditelan ahli keluarga wira negara.

“Tiada apa yang dapat menghilangkan kesedihan ini melainkan sokongan dan doa yang diberikan oleh orang ramai dan pemimpin negara kepada keluarga kami.


“Terima kasih kerana sanggup menyelami keperitan hidup kami selepas kehilangan orang yang tersayang lebih-lebih lagi seorang ketua keluarga,” katanya. - Harian Metro



1 comment: