Sabah diceroboh: Ketua pengganas lari, anak buah kelaparan, semangat semakin rendah

Agbimuddin Kiram sudah lari ke Filipina

BAGAN DATOH - Kabinet telah bersetuju untuk membolehkan agensi berita asing terutamanya dari Filipina mendapatkan gambaran sebenar berkenaan tindakan pasukan keselamatan terhadap militan Sulu di Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, media asing kini boleh  meletakkan petugas mereka di pusat media di Felda Sahabat.

"Anggota keselamatan ini juga boleh mengiringi wartawan asing ke Ground Zero bagi mereka untuk mendapatkan gambaran yang lebih baik mengenai operasi yang berterusan," katanya kepada pada sidang akhbar di bangunan Umno Bagan Datoh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pengganas yang masih berkurung di Sabah didapati berada dalam keadaan kelaparan.

Beliau menambah bahawa semangat mereka juga semakin rendah berikutan ketua mereka meninggalkan Sabah. 

Op Daulat diteruskan walaupun Agbimuddin Kiram berjaya lolos

Operasi Daulat bagi mengesan dan memburu kumpulan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah akan diteruskan walaupun ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram atau Agbimuddin Kiram telah meloloskan diri ke selatan Filipina.

Berdasarkan maklumat dan risikan daripada sumber tertentu, pihak berkuasa keselamatan berpendapat dan yakin Azzumudie telah meninggalkan pengikutnya di kawasan operasi dan melarikan diri ke tempat asalnya di selatan Filipina.

Perkara itu diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulifeli Mohd Zain dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama di sini, malam tadi.

Mereka berkata maklum balas daripada pasukan keselamatan negara di kawasan operasi di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan kawasan sekitarnya menunjukkan Azzumudie tidak lagi bersama dengan pengikutnya di Sabah.

Bagaimanapun, mereka tidak memberi butiran lanjut ketika ditanya bagaimana ketua pengganas itu berjaya meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan yang melancarkan gerakan besar-besaran sejak 12 hari lepas.

Zulkifeli berkata, walaupun Azzumudie telah melarikan diri, Op Daulat akan diteruskan bagi memburu dan menangkap saki-baki kumpulan itu yang masih berada di Tanjung Batu, Lahad Datu.

Beliau berkata, pasukan keselamatan telahpun memasuki Kampung Tanjung Batu untuk membuat pembersihan dengan lebih terperinci dan yakin dalam beberapa hari lagi kawasan itu dapat dibersihkan.

Dalam operasi pagi semalam, pasukan keselamatan mengesan beberapa aktiviti yang dipercayai dilakukan oleh musuh dalam kumpulan yang kecil,
katanya.

Ismail pula berkata, pihaknya yakin dengan jumlah besar anggota pasukan keselamatan pada masa ini, usaha membersihkan kawasan-kawasan yang terbabit dapat dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan. - Sinar Harian



2 comments:

  1. Tau pula lapar c sulu ni. Kata kebal. Ingat hanya Allah yang Maha Kuasa. Lagi satu,tolong ya, jangan suka-suka nak hina anggota keselamatan negara kami, takkan penjenayah jika mengancam keselamatn nak berlembut. Tengok pada sitausilah.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,
    kita doakan semua ni cepat tamat...

    ReplyDelete