Polis: Paintball Marker tidak boleh dibawa di tempat awam



JOHOR BAHRU - Orang ramai diingatkan agar tidak membawa 'paintball marker' di tempat awam kerana ia menyalahi Akta Senjata 1960.
 
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaakob berkata alat itu dikategori sebagai senjata dan masih belum dikategorikan sebagai peralatan sukan di bawah Akta Sukan walaupun ia digunakan dalam aktiviti rekreasi.
 
"Untuk menggunakan senjata ini, seseorang  perlu berdaftar dengan mana-mana kelab paintball yang berlesen dan hanya menggunakannya di padang yang ditetapkan oleh kelab paintball tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Beliau berkata seorang lelaki berusia 30-an ditahan 15 Mac lalu di Jalan Kebun Teh di sini kerana memiliki sepucuk senjata paintball.
 
Lelaki itu didapati memiliki senjata itu apabila ditahan selepas cuba melarikan diri dengan keretanya dari pihak polis.

Namun dia berjaya ditahan selepas keretanya hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta peronda yang turut mengejarnya.
 
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan dan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama


1 comment: