Buka puasa di Dataran Merdeka setiap hujung minggu


Putrajaya: Umat Islam dijemput menghadiri majlis berbuka puasa di sepanjang Jalan Raja dan Dataran Merdeka di ibu negara pada setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini, sempena Festival Ramadan 2013.

Majlis berbuka puasa itu adalah Program Merakyatkan Seni Budaya ‘Jom Buka Puasa’ yang akan menyajikan hidangan asas seperti buah kurma, kuih-muih dan bubur lambuk disediakan pihak Masjid Jamek Kampung Baru pada 13-14 Julai, 20-21 Julai, 27-28 Julai dan 3-4 Ogos.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar Thambi, berkata acara ‘Jom Buka Puasa’ itu antara lapan aktiviti sempena Festival Ramadan 2013 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Katanya, majlis buka puasa itu akan diisi dengan tazkirah Ramadan dan bacaan ayat suci al-Quran oleh qari dan qariah generasi muda bermula 6 petang.

Acara perdana 4 Ogos

“Acara perdana akan diadakan pada 4 Ogos dengan pengisian tambahan iaitu ceramah agama oleh ustaz Haslin Baharim, Konsert Rohani dan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah,” katanya pada majlis pelancaran acara itu di sini, semalam.

Abdul Ghaffar berkata, program lain sempena festival bertemakan ‘Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima’ ialah Pertandingan Nasyid dan Marhaban, Tadarus Al-Quran, Ziarah Sahur, Peragaan Busana Muslimah, Kem Remaja Ramadan, Pertandingan Cipta Lagu Nasyid dan Pertandingan Cipta Lagu Raya.

Program Ziarah Sahur akan disertai artis popular seperti Jamal Abdillah, Shaheizy Sam, Yana Samsudin dan Wawa Zainal dijangka berkunjung ke lokasi terpilih memberi sumbangan barangan keperluan harian dan makanan untuk keperluan sahur, katanya.

Beliau berkata, Kem Remaja Ramadan akan diadakan 26 hingga 28 Julai di Masjid Negara, Kuala Lumpur dan pengisian aktiviti kem ini ialah tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, motivasi kuliah dan ceramah agama.

“Pertandingan Cipta Lagu Nasyid dan Pertandingan Cipta Lagu Raya dibuka penyertaan kepada komposer profesional dan amatur warganegara Malaysia. Pemenang utama bagi kedua-dua pertandingan ini akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala lima pemenang sagu hati akan menerima RM5,000 setiap seorang,” katanya. - BERNAMA

2 comments: