Tembikai kembar siam 7.2 kg

Mohamad (kanan) bersama Penghulu Mukim Bunohan, Mohamad Yaakob menunjukkan tembikai kembar siam yang berbuah di ladang kontraknya di Kampung Kok Durian

TUMPAT – Seorang petani terkejut apabila pokok tembikai tanpa biji yang ditanam mengeluarkan buah kembar siam seberat 7.2 kilogram di ladang kontraknya di Kampung Kok Durian, di sini.

Mohamad Ibrahim, 48, berkata, dia menanam tembikai itu pada Mei lalu di atas tanah seluas dua hektar yang dulunya adalah tanah terbiar, diusahakan bersama empat petani.

“Ini kali pertama dalam hidup saya melihat tembikai kembar siam, ia sungguh pelik dan mengejutkan petani lain,” katanya.

Menurutnya, kewujudan buah tembikai kembar Siam itu disedarinya ketika memetik ratusan buah tembikai yang baru masak di ladangnya, kelmarin.

“Pada mulanya saya sangka buah itu berdekatan antara satu sama lain, tetapi apabila ditarik, rupanya ia melekat,” katanya.

Mohamad berkata, pada musim pendebungaan lagi, dia sudah menyedari kehadiran benih tembikai kembar ini tetapi tidak menyangka ia hidup subur.

“Adalah dua tiga bunga tembikai ini kembar, tetapi hanya satu hidup subur,” katanya.

Menurutnya, sejak tembikai kembar siam ini dijumpai dan dipamer di bangsal tembikainya, ia menjadi tarikan orang ramai.

“Kehadiran tembikai siam ini memberi rezeki kepada saya, sejak penduduk kecoh mengetahui adanya tembikai siam di sini, ramai yang datang melihatnya, sekali gus menjadikan jualan tembikai yang lain laris,” katanya.

Menurutnya, dia tidak bercadang untuk menjual tembikai tersebut kerana ia sesuatu yang unik untuk dijadikan kenangan, namun bimbang ia tidak tahan lama.

“Suatu hari pasti tembikai ini akan busuk dan akan hilang identitinya sebagai tembikai kembar siam,” katanya.


Sinar Harian

4 comments: