Aidilfitri: Tiket KTM habis, tiket bas masih ada

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat bas ekspres di ibu negara masih menawarkan tiket kepada orang ramai yang ingin pulang berhari raya bulan depan.

Tinjauan Bernama di Pudu Sentral mendapati orang ramai masih boleh membeli tiket untuk ke pelbagai destinasi. Pegawai Operasi Konsortium Bas Hasry Ekspres, Farah Hasry, 28, berkata kebiasaannya permintaan terhadap tiket akan meningkat apabila menghampiri hari raya.


Mengenai langkah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) memberi kelulusan kepada para pengendali bas ekspres untuk menaikkan harga tiket bas sebanyak 10 peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini, beliau menyambut baik langkah itu.

Bagaimanapun, syarikatnya masih menjual tiket pada harga biasa di awal bulan Ramadan ini dan akan menaikkan harga mengikut yang dibenarkan oleh pihak berkuasa mulai 20 Julai, katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Ketika mengumumkan kenaikan harga tiket itu bulan lepas, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kelulusan caj tambahan itu dikenakan bagi semua perjalanan dari 8 Julai hingga 8 September tahun ini, merangkumi semua perkhidmatan bas ekspres dan bas tambahan.

Pekerja swasta, Syazrin Syadiqah Sabri, 27, yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar, Perak setiap hujung minggu mengakui peningkatan harga tiket.

"Pembayaran surcaj sebanyak RM2.80 menjadikan nilai tiket saya menjadi RM30.70 berbanding pada hari biasa RM27.90 dan saya telah dimaklumkan oleh pihak bas ekspres mengenai kenaikan harga tiket tersebut sebelum membuat pembayaran," katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) mendapati tiket kereta api sudah habis dijual walaupun bulan Ramadan baru memasuki hari kedua.

Menurut seorang jurucakap KTM Intercity, penjualan tiket bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke pantai timur dan utara tanah air telah dijual bermula awal bulan lepas.

"Tiket perjalanan tren KTM Intercity ke pantai timur pula bertarikh 30 Julai dan perjalanan tren ke utara pada 31 Julai sahaja yang masih boleh didapati oleh para pelanggan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketika tinjauan dilakukan, didapati masih ramai warga kota yang mahu menggunakan perkhidmatan KTM Intercity sebagai alternatif untuk pulang ke kampung dan kebanyakan mereka menunggu pemberitahuan mengenai koc tambahan yang disediakan oleh pihak KTM.

Mohd Nazmir Munir, 34, berkata beliau terlepas pandang tarikh awal bagi penjualan tiket KTM Intercity ke Pasir Mas untuk musim perayaan pada tahun ini.

"Saya sentiasa membeli tiket KTM Intercity untuk pulang ke Kelantan dan saya berharap koc tambahan akan disediakan oleh pihak KTM sebelum Aidilfitri nanti," katanya. - BERNAMA


4 comments:

  1. dahla pengguna bas majoriti adalah student, kenapa tak dibuat 50%(student rate) sebagaimana utk ktm..?

    ReplyDelete
  2. bahang raya. sampai tiket ktm pon habis cepat kikiki

    ReplyDelete
  3. Saya belum beli tiket bas lagi ni.

    ReplyDelete