Neelofa harap buah tangan istimewa Red Warriors

KUALA LUMPUR - Sekalipun kurang meminati bola sepak, pelakon dan pengacara terkenal tanah air, Noor Neelofa Mohd. Noor (gambar) tetap mengharapkan buah tangan istimewa dibawa pulang Red Warriors apabila menentang Pahang dalam final Piala Malaysia, Ahad ini.

Malah, artis jelita itu mengharapkan Kelantan akan menang besar 3-0, sekali gus menjulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

“Kalau hendak minta saya mengulas mengenai pasukan Kelantan atau perlawanan, saya bukan orang yang sesuai.

“Tetapi jika ditanya tentang harapan saya, sudah tentu sebagai anak jati Kelantan, saya mahu kemenangan berpihak kepada Red Warriors.

“Malah, saya harap Kelantan berkemampuan tumpaskan Pahang 3-0 di Stadium Shah Alam nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan peminat tegar bola sepak menanti perlawanan akhir hujung minggu ini, anak jati Pasir Mas, Kelantan itu amat mengharapkan pertemuan membabitkan dua pasukan dari pantai timur itu dapat berlangsung dalam suasana aman.

Jelas pelakon berusia 24 tahun itu lagi, sikap terlalu menurut perasaan hanya akan merosakkan semangat kesukanan yang seharusnya ada dalam diri setiap pemain dan juga penyokong.

“Saya harap penyokong kedua-dua pasukan, terutama penyokong Kelantan dapat menjaga perlakuan masing-masing agar tidak tercetus perkara yang tidak diingini.

“Sebagai anak Kelantan saya juga tak mahu lagi dengar penyokong Red Warriors dianggap samseng dan sebagainya hanya semata-mata kerana insiden yang pernah berlaku sebelum ini," ujarnya.

Neelofa turut berharap penyokong kedua-dua pasukan tidak saling melakukan provokasi kerana perbuatan tersebut hanya akan mencetuskan pergaduhan jika gagal dibendung.

Utusan Malaysia

1 comment: