Bina hotel hasil wang mengemis

Sana’a: Seorang lelaki Yaman menghadiahkan isterinya kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser, sekeping tanah selain membina hotel dan pusat beli-belah hasil wang mengemis.

Mohammed Taher yang kini antara lelaki terkaya di sebuah wilayah di Yaman tidak memiliki harta apa pun ketika meninggalkan bandar kelahirannya, Lahij di barat daya negara itu ketika berhijrah ke Arab Saudi pada 2003.


Pada beberapa bulan pertama sewaktu bekerja sebagai tukang kayu di Jeddah, dia mendapati golongan pengemis memperoleh pendapatan lebih lumayan daripadanya.

Menurut laman web berita Yaman Sinbad, Mohammed kemudian mengambil keputusan menjadi pengemis.


“Dalam beberapa bulan pertama dia dapat mengumpulkan sejumlah besar wang hasil pemberian orang ramai,” lapor Sinbad. Mohammed terus mengemis selama 10 tahun hinggalah tahun ini sebelum dia memutuskan untuk pulang ke Yaman selepas mendapati wang yang disimpannya sudah mencukupi.


Perkara pertama dilakukan sebaik pulang ialah membelikan isterinya kenderaan dan sebidang tanah sebagai balasan kerana setia menunggunya, selain menjaga anak mereka sepanjang ketiadaannya. “Mohammed berjaya meraih kekayaan daripada mengemis dan kini dia membina sebuah hotel dan pusat beli-belah,” lapor Sinbad.

Sementara itu, seorang penulis blog Arab Saudi yang terkejut dengan kisah Mohammed mempertikaikan tindakan warga tempatan yang terlalu pemurah.


“Adakah kita sangat polos atau kebaikan kita untuk membantu mereka yang memerlukan sudah keterlaluan,” tulisnya. - Agensi

MyMetro


No comments:

Post a Comment