Hasrat mangsa tersepit pintu lif di PPR Desa Tun Razak untuk jumpa Piya tak kesampaian

 Nor Hazilah (kiri) menunjukkan gambar arwah anaknya, Khairul Amir memakai jersi TRW sambil ditenangkan ibunya, Che Ani di Kampung Sungai

BACHOK – Seorang peminat The Red Warrior (TRW) tidak sempat menunaikan hasratnya bertemu Piya, apabila dia maut tersepit di pintu lif rosak di tingkat 3, Blok 8, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ibu saudaranya, Nor Aznira Mat Zain, 37, berkata, mangsa, Khairul Amir Azri Lani, 11, rapat dengan keluarganya dan arwah melahirkan hasrat kepada suaminya, Noor Asnizam Mohd Noor, 37, untuk bertemu pemain kesayangannya, kapten TRW, Badri Radzi atau Piya.

“Arwah mempunyai minat yang sama dengan suami saya dan peminat setia The Red Warriors (TRW). Arwah tidak pernah ketinggalan mengikuti perlawanan pasukan itu yang diadakan di ibu negara.

“Kami juga sempat membawanya menonton perlawanan Malaysia melawan Chonburi FC di Stadium Bukit Jalil, 16 Julai lalu,” katanya yang menggagap arwah seperti anak sendiri.

Manakala, ibu mangsa, Nor Hazilah Mat Zain, 39, berkata, dia tidak menyangka permintaan anak ketiga daripada lima beradik itu untuk tinggal lebih lama di kampung sempena Aidilfitri nanti menjadi nyata.

 Nor Hazilah (kiri) menyirami kubur arwah anaknya, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Kubur Besar Kampung Sungai

Jenazah arwah dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Kubur Besar Kampung Sungai, dekat sini, jam 9.30 pagi semalam.

“Arwah beria-ria minta untuk beraya di Kelantan tahun ini lebih lama. Pagi itu pun masa sahur dia ada kata itu kali terakhir dia bersahur. Saya tak endahkannya sebab ingatkan gurauan.

“Namun saya reda tetapi biarkan kejadian ini menjadi yang pertama dan terakhir. Biasanya dia tak akan naik lif seorang diri dan jika tak ada orang, dia gunakan tangga sebab kes lif rosak memang sering berlaku,” katanya yang tinggal di situ sejak 15 tahun lalu.

Hazilah berkata, sejak awal Ramadan lalu penghuni melahirkan kebimbangan, berikutan kejadian itu berlarutan lebih empat hari, malah boleh dikatakan setiap hari berlaku gangguan ketika menggunakan lif,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kelmarin, arwah  murid tahun lima Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bandar Tasik Selatan itu, maut dengan lehernya hampir putus selepas tersepit di celah lif untuk ke rumah neneknya, Che Ani Che Soh, 58 di tingkat tiga perumahan berkenaan.

Mangsa dikatakan cuba keluar dari lif berkenaan yang tiba-tiba berhenti antara tingkat dua dan tingkat tiga blok berkenaan, selepas terperangkap bersama 17 penghuni lain.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sebelum tiba di kampung halamannya di Bachok jam 3.30 pagi semalam.

Sinar Harian

4 comments:

  1. berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul

    ReplyDelete
  2. Sedihnya... kakak tak dapat bayangkan macam mana boleh terjadi macam tu..

    ReplyDelete
  3. semoga keluarga arwah tabah menghadapinya

    ReplyDelete