Aktiviti merakam video wanita dalam tandas bawa padah

Gambar hiasan

KUANTAN- Tabiat pelik seorang lelaki menjadikan aktiviti menghendap dan merakam video wanita dalam keadaan mengaibkan sebagai hobi memakan diri apabila dia dihukum penjara selama 48 bulan selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan  atas empat tuduhan itu, semalam.

Tertuduh, Mohd Riduan Mohamed Yatim, 27 dari Batu 8, Jalan Gambang dekat sini turut dihukum penjara enam bulan selepas mengaku bersalah menceroboh secara jenayah kawasan sekolah terbabit bagi mencapai niat songsangnya itu.

Tertuduh bagaimanapun agak bernasib baik apabila hukuman penjara 12 bulan bagi setiap tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan enam bulan penjara bagi kesalahan menceroboh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan itu berjalan serentak.

Tabiat buruk tertuduh yang hanya bekerja kampung itu terbongkar selepas aktiviti jijiknya menghendap dan merakam gambar serta video empat kakitangan wanita sebuah sekolah rendah di  Batu 8, Jalan Gambang dekat sini disedari salah seorang mangsa dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari, 14 Jun tahun lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 28 tahun yang berada dalam salah sebuah tandas wanita sekolah terbabit menyedari kelibat tertuduh apabila ternampak sebelah tangan memegang telefon bimbit di bahagian atas dinding.

Mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan tertuduh cuba lari melalui pagar namun dia berjaya ditahan seorang guru lelaki dan pengawal keselamatan sekolah terbabit yang mengejarnya.

Susulan penahanan tertuduh, polis merampas sebuah telefon bimbit untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan dan analisis kandungan telefon bimbit  itu, polis menemui rakaman klip video dan gambar mengaibkan empat kakitangan wanita sekolah  terbabit.

Berdasarkan tarikh klip video tersebut, tertuduh dipercayai merakam gambar mengaibkan mangsa pertama kira-kira jam 12.57 tengah hari, 24 Mei 2012.

Dia mengulangi perbuatannya apabila merakam video mangsa kedua kira-kira jam 1.34 petang, 12 Jun 2016 manakala mangsa ketiga kira-kira jam 12.55 tengah hari berikutnya.

Bagaimanapun cubaan untuk merakam video mangsa keempat kira-kira jam 12.45 tengah hari, 14 Jun 2012 berakhir dengan penahanannya.

Tertuduh yang masih bujang sudah dihadapkan ke mahkamah itu sebelum ini namun dia mengaku tidak bersalah ketika itu.

Bagaimanapun dia menukar pengakuan kepada bersalah semalam dalam prosiding yang ditetapkan untuk sebutan semula kes terbabit.

Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan dia masing bujang dan hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak seberapa.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menasihati tertuduh supaya mencari pekerjaan yang lebih baik bagi mengubah kehidupan dirinya selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Beliau juga menyarankan tertuduh supaya segera  berkahwin bagi mengelak terus melakukan perbuatan terkutuk itu.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar.

Sinar Harian


2 comments: