Malaysia bantah Israel bahagikan Masjid Al-Aqsa


BEIJING - Malaysia menentang keras hasrat Israel untuk membahagikan Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci bagi umat Islam dan penganut Kristian.

"Langkah ini merupakan satu lagi perbuatan mencabul undang-undang antarabangsa dan akan memburukkan lagi keadaan di wilayah Palestin yang diduduki rejim Yahudi itu.

"Israel juga perlu menghentikan semua kegiatan penempatan haram dan meroboh struktur binaan rakyat Palestin serta mematuhi gesaan masyarakat antarabangsa supaya menarik balik sekatan haram yang dikenakannya terhadap Gaza," kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin pada mesyuarat antarabangsa dua hari Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyokong perdamaian Israel-Palestin, yang bermula hari ini.

Mesyuarat itu bertemakan 'Menghidupkan kembali penglibatan bersama antarabangsa ke arah mencapai penyelesaian dua negara dalam sengketa Israel-Palestin'.

Iskandar berkata Israel perlu sedar bahawa masa depannya bergantung pada penubuhan Negara Palestin melalui penyelesaian secara dua peringkat, yang berpandukan sempadan yang wujud sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Malaysia terus mengutuk keras kegiatan penempatan haram yang sedang dilakukan Israel, yang berkali-kali diisytihar sebagai perbuatan melanggar undang-undang dan tidak sah oleh pelbagai badan antarabangsa.

Badan berkenaan termasuk Perhimpunan Agung PBB, majlis Hak Asasi Manusia, majlis Ekonomi dan Sosial, mahkamah Keadilan Antarabangsa dan Majlis Kselamatan PBB.

Malaysia percaya tindakan biadab Israel menghalang rakyat Palestin membina penempatan dan mengusahakan tanah mereka, akan meningkatkan lagi semangat masyarakat antarabangsa untuk berpadu tenaga bagi menghentikan tindakan tidak sah itu serta sekatan yang dikenakan secara haram, kata Iskandar.

Mengenai tindakan Israel terhadap rakyat Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman bagi membantah layanan buruk terhadap banduan Palestin, beliau berkata Malaysia mengutuk tindakan pasukan keselamatan Israel menggunakan kekerasan secara melampau terhadap mereka, hingga mengakibatkan ramai daripada penunjuk perasaan mengalami kecederaan, termasuk beberapa remaja.

Beliau berkata Malaysia akan terus menyokong proses damai Israel-Palestin dan perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan semula hak dan kedaulatan tanah air mereka.

"Kami menggesa Israel dan Palestin supaya terus menyelesaikan sengketa antara mereka secara baik, membina dan bermakna," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment