Budak 2 tahun lebih cerdik daripada Obama

Adam Kirby

London: Seorang budak berusia dua tahun menjadi ahli termuda Mensa Britain selepas menjalani ujian kecerdasan yang meletakkan dia lebih cerdik daripada Barack Obama dan David Cameron.

Ketika kebanyakan budak sebayanya sibuk belajar berjalan dan menconteng dinding, Adam Kirby lebih gemar membaca karya William Shakespeare, belajar bahasa Jepun, Sepanyol dan Perancis, malah mampu menguruskan diri sendiri di tandas. Berasal dari Mitcham, London selatan, Adam mengambil ujian IQ Stanford-Binet dan memperoleh markah 141 atau 10 mata lebih lebih tinggi daripada dua pemimpin utama dunia - Obama dan Cameron.


Markah itu adalah dua mata saja daripada mencapai tahap genius dan dicapai Adam ketika dia masih belum mampu bercakap dengan ayat lengkap. Bapa Adam, Dean, 33, berkata dia dan isterinya, Kerry-Ann, 31, menyedari kelebihan kanak-kanak itu apabila melihat dia mampu membersihkan diri di tandas selepas membaca sebuah buku.

Kata Dean, kejadian itu berlaku ketika Adam baru berusia setahun. “Ketika berusia 29 bulan, Adam mampu mengeja sehingga 100 perkataan, menghafal sifir serta mahir mencantumkan teka-teki bergambar untuk orang dewasa,” katanya. Selepas memperoleh kejayaan dalam ujian IQ, Adam dipelawa pula menyertai Mensa Britain yang dikhaskan untuk seseorang yang memiliki kecerdasan sangat tinggi.


Sebelum Adam, rekod berkenaan dipegang Elise Tan-Roberts - kini berusia enam tahun yang menyertai kelab itu ketika berusia dua tahun empat bulan pada 2009.


Adam mengatasi Elise apabila menjadi ahli ketika berusia dua tahun lima bulan. - Agensi

MyMetro

No comments:

Post a Comment