'Tetak dengan parang pun tak lut'

Salmah ketika menceritakan mengenai ular sawa yang ‘singgah’ di rumahnya di Kampung Pasir Puteh ketika ditemui pusat pemindahan banjirdi SK Pasir Puteh, Merchang

MARANG - Seorang suri rumah terkejut apabila menemui seekor ular sawa batik sebesar paha sepanjang kira-kira empat meter dengan berat lebih 30 kilogram ketika mahu mengemas barang-barang untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir, di sini.

Salmah Hamzah, 52, yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di SK Pasir Puteh, Merchang, berkata, dia terdengar bunyi bising dari arah luar rumah sebelum ternampak ular sawa itu mahu menyambar seekor ayam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Salmah kemudiannya masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil parang dengan niat mahu membunuh ular tersebut, namun usahanya gagal walaupun selepas beberapa kali ditetak.

Menurutnya, kulit ular itu seolah-olah ‘kebal’ dengan senjata tajam dan dia yang panik mengambil pula sebatang besi untuk memukul ular tersebut, namun tetap juga gagal menghalau reptilia itu.

“Mak cik buntu memikirkan bagaimana cara nak halau ular itu selepas ditetak pun tak lut, mungkin parang tumpul. Ketika itu juga mak cik teringatkan mesin rumput (bermata besi) ada disimpan di bahagian dapur rumah lalu mengambilnya.

“Makcik galas mesin rumput itu dan hidupkannya...  makcik halakan mata mesin rumput itu ke arah kepala ular itu sehingga ia cedera dan mati walaupun ketika itu makcik sebenarnya takut dan cemas,” katanya.

Salmah berkata, dia kemudian mendapatkan bantuan suami, Ariffin Said, 62, untuk mengalihkan ular berkenaan sebelum membuangnya ke dalam air yang mulai naik di pekarangan rumah mereka berikutan hujan lebat.

Menurutnya, pengalaman itu pertama kali dilalui sepanjang musim tengkujuh melanda dan berharap ia tidak berulang.


Sumber: Sinar Harian

2 comments: