Hari ini genap 37 tahun pesawat MAS MH653 terhempas di Tanjung Kupang, Johor


JAM menunjukkan sekitar 7.21 malam pada 4 Disember 1977 apabila pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Boeing 737 MH653 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Singapura.Seramai 93 penumpang antaranya pelancong asing bersama tujuh krew penerbangan berada di dalam pesawat berkenaan.

Hampir setengah jam kemudian, pesawat berkenaan melalui Batu Arang dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS) di Selangor. Bagaimanapun, secara tiba-tiba menara kawalan LTAB menerima makluman daripada juruterbang pesawat bahawa terdapat situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan itu, kira-kira jam 7.54 malam. Ketika pegawai petugas menara kawalan meminta penjelasan lanjut, juruterbang berkenaan segera membalas dengan menyampaikan satu makluman yang amat mengejutkan – pesawat berkenaan DIRAMPAS PIHAK TERTENTU!

Mendengar penerangan itu, segera menara kawalan menyediakan landasan untuk pesawat berkenaan mendarat. Pesawat berkenaan terbang semakin rendah untuk mencecah landasan tetapi belum pun sempat ia menjejakkan roda, tiba-tiba ia kembali terbang tinggi meninggalkan daratan. Tanda tanya terus tercetus tatkala melihat tindakan aneh juruterbang tetapi ketika itu jugalah menara kawalan kembali dimaklumkan juruterbang pesawat berkenaan bahawa mereka akan meneruskan penerbangan ke Singapura. 

Jasad-Jasad Mangsa di kumpulkan dalam karung guni
 Menara Kawalan Paya Lebar di Singapura terus dimaklumkan mengenai situasi cemas dihadapi penerbangan MH653 itu dan kelulusan untuk mendarat segera diberikan pihak berkuasa negara terbabit. Akan tetapi, tidak lama selepas itu, secara tiba-tiba pesawat berkenaan terus hilang daripada radar menara kawalan. Segala usaha untuk mengadakan hubungan radio bagi menghubungi pesawat berkenaan juga gagal. Runsing, cemas dan tanda tanya terus bercampur baur pada pihak berkaitan tatkala memikirkan kehilangan misteri pesawat terbabit daripada radar selain situasi cemas yang berlaku di dalam penerbangan berkenaan.

 HUTAN bakau di Tanjung Kupang menjadi kawasan lapang selepas tragedi pesawat terhempas pada 4 Disember 1977. Sementara itu, malam yang tenang dan damai menyelubungi beberapa kampung di Tanjung Kupang yang terletak berhampiran Selat Tebrau kira-kira jam 8.30 malam. Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah masing-masing sambil berehat dan menonton televisyen manakala sebilangan lagi melepaskan penat lelah berikutan terdapat kenduri kahwin yang diadakan pada siangnya.

Tidak lama kemudian, satu bunyian aneh yang berdesing seakan bunyi wisel yang kuat mula menggemparkan penduduk kampung. Ada antara mereka yang berlari ke luar rumah untuk memastikan bunyi aneh apakah yang mencemari keheningan malam itu. Ketika itulah mereka semua tersentak kekejutan – di hadapan mata mereka, kelihatan pesawat gergasi terbang dalam keadaan ‘bergoyangan’ dan amat rendah sehingga kelihatan seolah-olah berada betul-betul di atas pohon kelapa saja.

Kawasan di percayai pesawat terhempas
 Kegemparan di jiwa penduduk masih belum hilang ketika pesawat berkenaan tiba-tiba terbang memutar dan hampir menegak. Satu letupan kuat kedengaran sebelum lampu pesawat itu terpadam dan kapal terbang itu terus terjunam ke satu lokasi berhampiran kampung berkenaan. Pesawat berkenaan terhempas di permukaan tanah dan menggegarkan kawasan sekitar sehingga ada penduduk menyangka yang gempa bumi berlaku di kampung itu. Gegaran itu diiringi satu letupan teramat kuat dan api mula marak menjulang sehingga berpuluh meter ke udara.

Serentak itu juga banyak barang dan serpihan pesawat melayang bertebaran ke merata arah malah sehingga ke lokasi yang jauh. Tidak lama kemudian, satu laporan diterima pihak polis berhubung tragedi kapal terbang yang terhempas di kawasan hutan bakau di Tanjung Kupang.

Laporan itu membawa berpuluh jentera bomba, ambulans dan kenderaan menyelamat bersama lebih 100 pihak berkuasa termasuk polis, tentera, bomba dan petugas hospital ke lokasi nahas sekitar jam 10 malam bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Pengawasan helikopter dari udara mendapati hempasan pesawat menjangkau lokasi luas sehingga 2.5 kilometer persegi malah ada kawasan yang menjadi lapang seumpama ‘padang jarak padang terkukur’ apabila banyak pohon bakau di kawasan itu tercabut dan patah dilanda pesawat.


BARANG mangsa yang bertaburan dikumpulkan. Gerakan mencari dan menyelamat segera dilakukan dan ketika itu jugalah pihak terbabit mula sedar bahawa pesawat berkenaan berkecai akibat terhempas dan tiada siapa yang terselamat daripada tragedi itu. Kenyataan itu lebih menyeramkan tatkala pasukan penyelamat mendapati bukan saja tiada mangsa yang berjaya diselamatkan malah jasad semua mereka juga hancur berkecai malah ada yang hanya ditemui sekadar cebisan daging.

Pelbagai peralatan daripada pesawat termasuk buku, surat, gambar, pakaian dan barangan keperluan mangsa bertebaran ke merata arah di seluruh kawasan tragedi yang luas malah cebisan jasad mangsa dipercayai turut hilang akibat terjatuh di kawasan perairan. Kawasan sekitar juga mula diselubungi bauan mayat serta minyak pesawat dan hari itu, satu tragedi pesawat terhempas yang paling tragik dan dahsyat dicatat dalam sejarah hitam negara.

Cubaan rampasan disyaki punca tragedi

SEKITAR jam 5.40 pagi selepas tragedi pesawat Boeing 737 MH653 terhempas, pihak MAS mula memaklumkan mengenai tragedi menyayat hati itu kepada ahli keluarga dan rakan penumpang yang menanti dengan penuh gelisah di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (LTAS).

Pengumuman itu disambut dengan perasaan pilu dan sayu apabila ahli keluarga dan rakan yang menanti itu diberitahu bahawa tiada mangsa yang ditemui selamat berdasarkan gerakan mencari yang dilakukan. Tanjung Kupang kemudian menjadi tumpuan media dan negara dikejutkan dengan tragedi antara paling tragik pernah direkodkan dalam sejarah negara.

Tugu Peringatan Tanjong Kupang di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru itu telah dibina sebagai usaha untuk memperingati mereka yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang.
 Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).

Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Ali Ahmad dan Setiausaha Politiknya, Hood Fadzil, adalah di antara penumpang yang dilaporkan terkorban.

Gerakan mencari yang tergendala kerana kesukaran mencari pada gelap malam diteruskan semula ketika mentari pagi mula menerangi kawasan tragedi. Pelbagai penemuan sama ada barang keperluan dan komponen pesawat dipungut dan dikumpulkan pada suatu tempat. Jasad mangsa pula dikumpulkan di dalam beg plastik, ditanda sebelum dihantar ke rumah mayat.

Pihak berkuasa juga mengadakan pengawasan ketat di tempat kejadian malah kawat berduri dipasang bagi mengelakkan pihak yang tidak berkaitan memasuki lokasi nahas kerana dikhuatiri mengganggu kerja mencari dan menyiasat yang dijalankan. Seterusnya, mayat semua mangsa yang ditemui dimasukkan dalam tujuh keranda dan dikebumikan di satu tapak perkuburan besar di Jalan Kebun Teh berikutan sukar untuk mengenalpasti identiti setiap mangsa. 

Ribuan ahli keluarga dan sahabat termasuk mereka yang berasal dari luar negara membanjiri tanah perkuburan berkenaan pada hari pengebumian jenazah semua mangsa diadakan. Tragedi itu juga memberi impak dan tamparan besar kepada operasi pesawat dan lapangan terbang berikutan ramai pihak beranggapan yang kemalangan itu berpunca daripada kurangnya kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Satu kajian semula mengenai keselamatan di lapangan terbang dilakukan. Pengesan logam buat pertama kalinya dipasang di LTAS bagi mengelak kejadian sama berulang. Bagasi milik orang kenamaan pula tidak lagi boleh dikecualikan daripada pemeriksaan dan pengawal peribadi mereka juga dikehendaki menyerahkan senjata api masing-masing kepada juruterbang sebelum menaiki pesawat.

Menyoroti punca nahas itu, ramai pihak percaya yang juruterbang pesawat berkenaan dipaksa pihak perampas untuk terbang terus ke Singapura dan tidak mendarat di Subang untuk mengisi minyak. Perampas terbabit juga dipercayai turut menyeludup masuk bahan letupan di dalam pesawat menyebabkan tragedi itu menjangkau kawasan yang amat luas apabila terhempas.

Penemuan beg kecil bersama kelongsong peluru juga menimbulkan spekulasi bahawa kemungkinan berlakunya pergelutan antara pihak perampas dengan pengawal peribadi Datuk Seri Ali sejurus sebelum pesawat itu terhempas. Analisis terhadap kotak hitam pesawat juga tidak banyak membantu untuk mengenalpasti siapakah perampas terbabit, motif mereka serta rentetan kemalangan berkenaan.

Beberapa pihak pengganas dipercayai menjadi dalang rampasan berkenaan antaranya kumpulan dikenali ‘Tentera Merah Jepun’ selain ‘Ananda Marga’ dan ‘West German Baader-Meinhof’. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh mengenai kejadian sebenar yang berlaku ketika penerbangan berkenaan sekali gus meninggalkan punca tragedi itu kekal sebagai misteri sehingga kini.


Peristiwa Misteri dan Seram

Bagaimanapun, kejadian itu terus mewujudkan pelbagai andaian, cerita dan kenangan. Pelbagai cerita aneh turut diceritakan pelbagai pihak selepas kejadian itu.

Antaranya, kisah seorang pemandu teksi mengambil penumpang wanita muda bersama seorang anak kecil di kampung itu, tidak jauh dari kawasan kemalangan. Penumpang berkenaan meminta dihantar ke Jalan Kebun Teh iaitu tanah perkuburan khas bagi menempatkan mangsa tragedi. Apabila sampai di situ, wanita itu meminta keluar sebentar untuk menziarah makam dengan menumpangkan anak kecilnya di tempat duduk hadapan teksi. Bagaimanapun, sebaik berpaling melihat wanita itu berjalan ke arah makam, anak kecil di sebelah tempat duduknya bertukar menjadi batu nisan dan wanita itu turut ghaib.

Sehingga kini, tidak ada pokok termasuk pokok bakau dapat hidup di kawasan kapal terbang terhempas itu. Ketua Kampung Ladang, Tanjung Kupang, Abu Bakar Mohd Ali (gambar), 58, berkata beliau masih teringat kira-kira lima hari selepas kejadian, dia menerima kedatangan seorang pelanggan, seorang anggota polis hutan yang membeli barangan keperluan di kedai runcitnya. Beliau berkata, ketika itu, dia perasan, wang yang digunakan untuk membeli barangan adalah wang kertas RM5 yang banyak ditemui di lokasi kemalangan serta berbau darah.

“Saya mengesyaki wang berkenaan milik mangsa yang terbabit dalam nahas itu. Saya mencium wang berkenaan untuk memastikannya selepas pelanggan berkenaan meninggalkan kedai dan saya yakin ia berbau darah,” katanya.

Abu Bakar berkata, berikutan kejadian itu, dia menjadi gelisah dan tidak dapat tidur semalaman. “Bagaimanapun apa yang menakutkan ialah bayangan lembaga hitam mengganggunya sehingga dia berasa seolah-olah ada benda berat menindih badannya. “Saya tidak dapat melihat dengan jelas lembaga hitam itu sama ada lelaki atau perempuan. Bagaimanapun, saya percaya ia disebabkan saya menerima wang milik mangsa kemalangan berkenaan.“Kejadian itu menyebabkan saya menjadi seperti tidak tentu arah dan sentiasa terperanjat hampir seminggu,” katanya.

Seorang nelayan, Sulaiman Othman, 58, berkata kawasan nahas berkenaan berhampiran sebuah pangkalan nelayan. Katanya, dia sering berulang-alik di kawasan itu termasuk pada hari kejadian apabila turun ke laut untuk menangguk udang kira-kira jam 7.30 malam bersama dua lagi rakan.

“Kira-kira jam 8.45 malam, kami terdengar bunyi bising. Pada mulanya, kami ingat bunyi kapal terbang Singapura menjalani latihan. Bagaimanapun, bunyinya pelik dan berdesing seperti wisel. “Tidak berapa lama kemudian, kami melihat sebuah pesawat terbang rendah dan terdengar bunyi dentuman sebelum satu letupan kuat dan api menjulang beberapa puluh meter ke udara,” katanya.

Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan pelbagai dokumen dan barangan turut tercampak ke laut.

“Saya amat terkejut dan bersama seorang rakan kembali ke darat untuk melihat apa yang terjadi. Saya dapati pelbagai barangan bersepah berhampiran tempat kejadian seperti pakaian, makanan, kertas dan sebagainya. “Kami juga melihat satu daripada sayap kapal terbang berkenaan tercacak pada benteng manakala tayar di kawasan bakau. Selain itu, banyak wang kertas RM5 turut ditemui bertaburan di atas tanah serta perut manusia. “Semua mayat sudah hancur dan tidak lagi kelihatan bentuk. Apa yang kami dapat lihat ketika itu hanya gumpalan daging saja,” katanya.

Beliau yang dipercayai penduduk kampung pertama sampai di tempat kejadian mendakwa menemui ikan kurau kering masih elok di dalam sebuah bakul yang biasa dibawa masyarakat Cina pada masa itu. Katanya, tidak lama kemudian, satu helikopter dari Singapura sampai di tempat kejadian dan mula menyuluh ke tempat kejadian.

“Mereka juga mengikuti pergerakan kami di lokasi berkenaan untuk tempoh beberapa minit menyebabkan kami meninggalkan lokasi berkenaan. “Mungkin mereka menyangka kami antara mangsa terselamat dalam nahas berkenaan,” katanya yang mendakwa tidak lama kemudian berpuluh-puluh ambulans dan jentera bomba datang ke tempat kejadian untuk membantu mangsa nahas.

Sulaiman berkata, tiga hari selepas kejadian, dia memasuki kawasan tragedi dan cuba mengambil sebelah kasut kulit yang ditemui di tempat kemalangan berkenaan.

“Saya sungguh terkejut apabila mendapati ada kaki manusia di dalam kasut berkenaan. Saya juga ada mendengar cerita seorang penduduk kampung mengambil kasut di kawasan kemalangan tetapi terpaksa memulangkan semula apabila tidak dapat tidur,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman dan Abu Bakar kesal kerana janji untuk membina peringatan di atas kawasan nahas berkenaan tidak ditunaikan. Kawasan itu kini diambil alih dan menjadi sebahagian tanah milik Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).


Tragedi itu mengorbankan 73 rakyat Malaysia, tiga rakyat Australia, Inggeris (lima), Jerman (empat), Afghanistan (satu), India (tiga), Thailand (satu), Jepun (satu), Singapura (satu), Kanada (satu) dan tiga rakyat Indonesia, Amerika Syarikat (satu), Cuba (dua) dan Greece (satu).


Takziah kepada semua penumpang pesawat MAS MH653 yang terkorban pada 4 Disember 1977. Al-Fatihah.

Info Tragedi

Tarikh dan waktu terhempas: 4 Disember 1977, kira-kira jam 8.35 malam.
Lokasi terhempas: Hutan paya bakau di Tanjung Kupang, Johor.
Jadual penerbangan: Pesawat dari Pulau Pinang menuju ke Singapura.
Angka korban: 100 mangsa (93 penumpang dan tujuh krew penerbangan)
Punca: Dipercayai pesawat dirampas pihak tertentu.



Sumber: Berita Minggu

1 comment:

  1. "you bluff me" kata perampas kepada G.k. Gajoor"

    ReplyDelete