Terkejut biawak 'santai' atas sofa

BAGAN SERAI - Seorang lelaki terkejut melihat seekor biawak bersaiz besar seberat kira-kira empat kilogram ‘bersantai’ di atas sofa rumahnya di Taman Seri Serai kelmarin.

Ketika kejadian jam 12.20 tengahar itu, Ahmad Irwan Bajaruddin,29, berkata, dia baharu selesai menyiapkan kerja di luar rumah masuk ke dalam untuk berehat di atas sofa.

Menurutnya, setelah setengah jam berbaring sambil menonton televisyen, dia terkejut selepas mendapati terdapat seekor biawak di atas sofa miliknya.

“Saya hairan sebab tidak sedar kehadiran biawak itu sepanjang berbaring di atas sofa.Bimbang ia gigit saya, saya cuba turun dari sofa untuk beredar ke luar rumah.

“Biawak itu kemudiannya bergerak dan bersembunyi di belakang rak televisyen,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Irwan berkata, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian.

Sementara itu, Penyelia Operasi JPAM, B Sugumaran berkata, empat anggota JPAM bergegas ke rumah pengadu dan hanya mengambil masa beberapa minit untuk menangkap biawak itu.

“Pihak kami tidak berdepan sebarang kesukaran dan hanya ambil masa kurang dari lima minit untuk menangkapnya.

“Biawak sepanjang lebih satu meter itu  kemudiannya dilepaskan semula di kawasan hutan berhampiran Bukit Merah,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment