Telaga jadi tumpuan pemuja emas

Telaga yang masih wujud di Kampung Telaga Mas dahulunya digali penduduk Thailand untuk mencari emas.
 
 TERDAPAT dua kumpulan melakukan aktiviti pemujaan kerana percaya terdapat emas di Kampung Telaga Mas

Sikap tamak mendorong manusia melakukan pemujaan semata-mata mahu mencari kemewahan sedangkan ia bertentangan dengan agama yang dianuti.

Pemujaan yang dilakukan tanpa mengira waktu bertujuan memanggil emas menyebabkan sebuah kampung di sini dikenali sebagai Telaga Mas.

Walaupun belum ada bukti penemuan emas dalam kalangan pemuja, namun aktiviti khurafat itu menjadi sebutan generasi baharu sehingga ke hari ini.

Tempayan naga emas

Penduduk yang dikenali sebagai, Pok Su Loh, 67, berkata, cerita yang disampaikan dari generasi ke generasi mungkin sekadar mitos nenek moyang di zaman dahulu.

Namun katanya, penduduk di seluruh pelusuk negara malah sebilangannya dari Thailand mempercayai mitos berkenaan sehingga ada yang sanggup berkampung di sini, selama berbulan-bulan.

Menurutnya, menerusi cerita dari nenek moyang, aktiviti pemujaan berlaku bermula sekitar tahun 1930-an lalu.

“Terdapat dua kumpulan besar yang menjalankan aktiviti pemujaan ini iaitu kumpulan Melayu dan satu lagi kumpulan Siam.

“Setiap kumpulan pula disertai beberapa bomoh dari kepercayaan kaum masing-masing menggali beberapa telaga,” katanya.

Suatu hari Pok Su Loh berkata, kumpulan ini dikatakan ternampak kilauan emas berbentuk dua tempayan naga emas yang sangat besar.

Namun katanya, pemuja ketika itu percaya semangat makhluk halus menjaga emas berkenaan membawa emas berkenaan dan bergolek ke kawasan bendang padi.

Menurutnya, kubang padi yang terletak lebih 200 meter menyebabkan operasi menggali emas diteruskan di kawasan bendang sehinggalah akhirnya, ia menjadi kubang.

Kawalan polis

Pok Su Loh berkata, aktiviti memuja dan mengali tanah untuk mencari emas dilakukan secara meluas kerana kawasan lebih kurang 1.6 hektar itu dahulunya dipenuhi belukar.

Menurutnya, terdapat dua rumah dibina di kampung berkenaan dan rumah paling dekat dengan lokasi mencari emas, terletak hampir 100 meter.

Katanya, tidak ramai yang sanggup menegur kumpulan itu kerana bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

“Hanya selepas dikawal polis, barulah kampung ini tidak dilawati pengunjung yang mahu melakukan aktiviti khurafat.

“Penduduk sering mendengar tembakan amaran polis bagi menghalang aktiviti pemujaan daripada terus berleluasa,” katanya.

Gangguan semangat

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 39, berkata, peredaran masa dan pembangunan menyebabkan beberapa telaga kecil dikambus untuk dijadikan jalan raya dan penempatan penduduk.

Walaupun aktiviti memuja berkurangan menjelang 1980-an, namun sebahagian besar kanak-kanak ketika itu takut untuk menggunakan jalan berkenaan.

Menurutnya, kanak-kanak yang berulang alik ke tempat mengaji al-Quran akan pulang secara berkumpulan.

“Ini kerana ada penduduk mendakwa ternampak kelibat ‘sesuatu’ di kawasan semak namun ghaib setibanya di kawasan kubang mas.

“Walaupun ia sekadar mitos namun cerita ini menjadi buah mulut penduduk sehingga ke hari ini,” katanya.

Biarpun peristiwa ini mula lenyap dan dilupakan generasi muda, Ahmad berkata, ada sekumpulan penduduk dipercayai dari Utara Malaysia melakukan pemujaan hampir 10 tahun lalu.

Tidak mahu kejadian sama berulang katanya, penduduk menasihati kumpulan terbabit agar tidak mempercayai mitos tersebut kerana sehingga ke hari ini, belum ada pihak tampil membuktikan penemuan emas


Sumber: Sinar Harian

1 comment: