Serangan Taliban: Laporan Dakwa Kanak-Kanak Dipenggal, Guru Dibakar

Keranda yang membawa mayat mangsa serangan Taliban di sebuah sekolah di Pakistan diusung keluar oleh pasukan kecemasan, Foto REUTERS

BEBERAPA laporan mengenai serangan militan Taliban ke atas sebuah sekolah di Pakistan amat mengejutkan dengan dakwaan kepala kanak-kanak dipenggal dan seorang guru dibakar hidup-hidup.

Kumpulan pengganas itu menyerang Sekolah Awam Tentera di Peshawar di barat laut Pakistan pada Selasa, mengorbankan lebih 140 orang, dengan kebanyakan mereka adalah pelajar.

Laporan mengejutkan membabitkan tragedi berdarah itu bermula daripada satu sumber menyatakan beberapa kanak-kanak terbunuh, dengan mendakwa antara mereka yang berusia lima tahun telah dipenggal kepala.

Satu sumber lagi memberitahu NBC News bahawa seorang guru telah dibakar hidup-hidup di hadapan sekumpulan pelajar yang dipaksa untuk menyaksikan kejadian ngeri tersebut.

"Mereka bakar seorang guru di hadapan para pelajar di sebuah kelas.

"Mereka membakar guru itu menggunakan minyak gasolin dan memaksa pelajar untuk menyaksikannya," kata sumber itu kepada NBC News.

Sekurang-kurangnya enam militan memasuki sekolah berkenaan dengan memakai uniform pasukan keselamatan sebelum mengadakan serangan.

Pegawai rasmi Pakistan masih belum mengesahkan mengenai kesahihan laporan mengenai pelajar sekolah dipenggal dan guru yang dibakar.

Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif menyeru supaya hari berkabung diadakan selama tiga hari di seluruh negara. - metro.co.uk


Murid Trauma Cerita Saat Rakan Sekelas Dibunuh Taliban

Seorang murid yang trauma masih mampu bercerita bagaimana rakan-rakan sekelasnya menangis sebelum dibunuh kejam oleh kumpulan militan Taliban dalam serangan ke atas sebuah sekolah milik tentera di sini.

Irfan Shah, 10, menceritakan detik hitam dalam hidupnya sambil menangis teresak-esak.

"Saya lihat seorang lelaki membawa senjata dan menembak. Saya meniarap untuk selamatkan diri, ketika itu peluru bertaburan.

"Tidak lama kemudian, saya lihat darah mula mengalir di lantai manakala rakan-rakan lain telah meninggal dunia dalam keadaan yang teruk," jelasnya.

Irfan Shah merupakan antara ratusan mangsa yang cedera manakala seramai 141 termasuk 132 murid maut dalam kekejaman itu.

Dalam kejadian ngeri itu, bukan sahaja murid ditembak mati tetapi terdapat guru yang dibakar hidup-hidup menggunakan petrol.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat seorang lelaki yang memakai jaket kalis peluru telah meluru ke dalam sekolah yang dihuni murid berusia 5 hingga 16 tahun.

Dia kemudian melepaskan tembakan rambang untuk membunuh pelajar yang terdiri daripada anak-anak anggota tentera negera tersebut.

Bagaimanapun, ketibaan tentera yang yang melakukan serangan balas berjaya membunuh sembilan lelaki yang terdiri daripada ahli kumpulan militan Taliban. - mstar.com.my

1 comment:

  1. Allahurobbi... tak dapat kakak bayangkan detik-detik cemas itu terjadi...

    ReplyDelete