JPAM Sibuk Tangkap Ular Pada Musim Banjir

 
KUALA TERENGGANU: Ketika musim banjir ini, kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu menjadi tidak menang tangan untuk menangkap ular.

Ini kerana hampir setiap hari Bilik Operasi Daerah JPAM menerima panggilan mengenai ular yang memasuki rumah penduduk.

Pengarahnya Lt Kol (PA) Che Adam A. Rahman berkata pihaknya telah menangkap 383 ekor ular yang memasuki rumah penduduk dari 1 hingga 20 Dis lalu.

Beliau berkata Kuala Terengganu mencatat jumlah kes tangkapan tertinggi iaitu 117 kes, diikuti Dungun (70 kes), Marang (65 kes), Besut (50 kes), Kemaman (46 kes), Hulu Terengganu (19 kes) dan Setiu (16 kes).

Antara spesis yang sering ditangkap terdiri daripada tedung, senduk dan katam tebu yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut, katanya.

"Apabila habitat ular terganggu (seperti banjir), ular akan menyusur masuk ke tempat yang dirasainya selamat seperti dalam rumah untuk berlindung. Ular akan masuk melalui lubang pintu rumah dan lubang tandas. Namun sehingga kini tiada kes mangsa yang dipatuk ketika berada di dalam tandas," katanya.

Che Adam menasihati orang ramai agar tidak bertindak sendiri sebaliknya menghubungi anggota JPAM untuk menangkap ular yang memasuki rumah mereka.


Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment